ALOR SETAR: Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon di sini, pada 27 Mac ini diteruskan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kebanyakan persiapan telah dilakukan lebih awal, selain turut melibatkan peniaga kecil di negeri ini.
Beliau berkata, majlis itu akan melibatkan kerjasama semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri di bawah satu bumbung sebagai menyokong saranan penjimatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita buat (teruskan) sebab persiapan dan perolehan pun sudah buat, khemah sudah pasang dan makanan pun sudah tempah. Itu pun bantu ekonomi para peniaga juga dan ini acara tahunan, bukan buat hari-hari.
“Kita sokong juga saranan Perdana Menteri untuk semua agensi mengehadkan penganjuran. Jadi saya jemput semua agensi dan GLC untuk berkongsi pada 27 Mac ini. Kita berkongsi raya,” katanya selepas menyantuni seramai 104 anak yatim bersama Exco di Bazar Raya Stadium Darul Aman di sini hari ini.
Muhammad Sanusi mengulas arahan Kerajaan Persekutuan agar semua agensi kerajaan, GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) supaya tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri, ekoran kesan ekonomi daripada perang Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran. – UTUSAN









