Sabah teliti semula perdagangan `barter’ bersama selatan Filipina

Sabah teliti semula perdagangan `barter’ bersama selatan Filipina

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Kerajaan negeri akan meneliti cadangan menghidupkan semula perdagangan tukar barang atau ‘barter trade’ antara Sabah dan selatan Filipina.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, cadangan itu perlu diperhalusi secara menyeluruh kerana ia membabitkan aspek utama iaitu keselamatan, kepentingan ekonomi dan manfaat kepada peniaga tempatan.

“Kita akan kaji… Banyak pihak memberikan cadangan mengenai perkara ini. Semua aspek akan diambil kira, khususnya keselamatan dan kebaikannya kepada ekonomi kita.

“Kita akan bincang perkara ini nanti dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri,” katanya selepas meninjau tahap keselamatan kawasan pelancongan membabitkan tiga pulau iaitu Pulau Bakungan Kecil, Pulau Selingan dan Pulau Lankayan di sini hari ini.

Hajiji berkata, lawatan itu membolehkan beliau melihat sendiri kesiapsiagaan pasukan keselamatan dan keadaan pos kawalan yang ditempatkan di pulau-pulau sekitar perairan Sandakan.

Berdasarkan tinjauan itu, fasiliti di pos keselamatan berada dalam keadaan baik dan beberapa kemudahan juga sudah ditambah baik.

“Hasil tinjauan ini, saya lihat kesiapsiagaan pasukan keselamatan termasuk fasiliti di pos kawalan berada dalam keadaan baik. Fasiliti juga sudah ditambah.

“Saya sudah membawa perkara ini kepada Perdana Menteri dan banyak aset sudah diberi peruntukan, walaupun masih banyak lagi yang diperlukan.

“Ini amat penting untuk pasukan keselamatan mengawasi perairan kita terutama aset canggih yang boleh memantau pihak yang mungkin mahu masuk ke negara kita,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tiada insiden pencerobohan dilaporkan berlaku di kawasan Pantai Timur Sabah kebelakangan ini, kawalan keselamatan tetap perlu terus diperkukuh.

Katanya, pasukan keselamatan di Sabah masih memerlukan kekuatan tambahan serta aset berteknologi tinggi bagi memantau kawasan sempadan daratan dan perairan negara daripada dimasuki elemen jenayah.

“Apabila saya menjadi Ketua Menteri, saya beritahu kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan bahawa masih banyak aset dan kekuatan (anggota) diperlukan bagi mengawasi perairan negara.

“Sudah lama tiada insiden dilapor berlaku di perairan kita. Ini sudah tentu menggalakkan pelancongan di Pantai Timur Sabah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN