WASHINGTON: Sebuah pesawat yang sedang dalam proses pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, New Jersey melanggar sebatang tiang lampu dan sebuah treler pada Ahad.
Perlanggaran itu berlaku di lebuh raya menyebabkan pemandu treler itu mengalami kecederaan.
Pesawat United Airlines jenis Boeing 767 yang berlepas dari Venice, Itali itu sedang bergerak pada kelajuan melebihi 257 kilometer sejam ketika ia melintasi Lebuh Raya New Jersey.
Lebuh Raya itu terletak tepat di luar kawasan lapangan terbang.
Siasatan awal mendapati tayar pada gear pendaratan dan bahagian bawah pesawat telah berlanggar dengan tiang dan treler berkenaan.
Tiang tersebut kemudian tumbang lalu menghempap sebuah kenderaan.
Menurut jurucakap Polis Negeri New Jersey, pemandu lori treler itu mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa dan telah dikejarkan ke hospital berdekatan.
Seorang saksi, Patrick Oyulu yang sedang memandu menceritakan detik cemas melihat pesawat itu terbang terlalu rendah sehingga menghasilkan tiupan angin yang sangat kencang.
Beliau menyifatkan pesawat itu muncul tepat di hadapan treler tersebut. Oyulu berkata, beliau melihat kepulan asap dan serpihan bertaburan dengan menambah pemandu treler itu seolah-olah cuba mengelak tetapi gagal.
Pihak syarikat penerbangan mengesahkan terdapat lebih 200 penumpang dan 10 anak kapal di dalam pesawat tersebut. – AGENSI










