KUALA KRAI: Luluh hati seorang kakak apabila panggilan telefon untuk mengetahui keberadaan adiknya bertukar menjadi khabar duka apabila ia dijawab seorang doktor yang mengesahkan Muhammad Irfan Zaidin, 20, sudah meninggal dunia.
Muhammad Irfan maut yang merupakan penumpang tempat duduk hadapan dilokasi selepas kereta jenis Honda City dinaiki bersama dua lagi rakan terbabit dengan kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Kembara di Kilometer 88 Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Kampung Manek Urai di sini.
Bapa mangsa, Zaidin Wahab, 63, berkata, khabar duka itu dimaklumkan oleh salah seorang anaknya Nur Aliya, 23, yang menghubungi Muhammad Irfan untuk mengetahui keberadaan arwah.
“Pada awalnya, kakaknya hanya mahu bertanya di mana dia berada kerana dia dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur bersama rakannya selepas Subuh.
“Tetapi panggilan itu dijawab doktor yang memaklumkan anak saya terlibat dalam kemalangan dan telah meninggal dunia. Hancur luluh hati kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, di sini, hari ini.
Zaidin memberitahu, sebelum kejadian, arwah sempat menghubungi ibunya, Rohana Mamat, 55, selepas solat Isyak untuk memohon restu serta menyatakan hasrat pulang ke kampung kerana terlalu merindui keluarga.
“Percakapan dia malam itu agak berbeza, lebih serius dan tidak seperti biasa. Dia seorang yang suka bergurau, tetapi malam itu lain benar nadanya.
“Ibunya sempat melarang dia pulang kerana mereka baru sahaja bertemu tiga hari lalu di Subang ketika melawat abangnya yang bertugas sebagai anggota tentera dan bakal berpindah ke Kuching,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua kenderaan yang datang dari arah bertentangan bertembung secara berdepan di garisan berkembar di kawasan selekoh.
“Perodua Kembara tersebut dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Gua Musang, manakala Honda City dari arah bertentangan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan dipercayai bertembung di tengah jalan di kawasan selekoh. Impak perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Mazlan berkata, dua lagi penumpang Perodua Kembara serta pemandu Honda City hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke HSIP untuk rawatan lanjut.-UTUSAN










