PETALING JAYA: Ribut petir dan hujan lebat dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung termasuk Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Johor pada petang ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), keadaan sama turut melibatkan beberapa kawasan pedalaman di Perak, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Pada waktu malam pula, ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan di Kedah selain Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Johor.
“Beberapa negeri seperti Perlis, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula dijangka tidak mengalami hujan pada sebelah petang dan malam,” katanya dalam kenyataan.
Di Sabah, ribut petir diramal berlaku di beberapa kawasan termasuk pedalaman, pantai barat, Tawau dan Sandakan.
Sarawak pula dijangka mengalami hujan dan ribut petir di beberapa bahagian negeri tersebut manakala kawasan lain diramal tanpa hujan.
Dalam pada itu, MetMalaysia memberitahu, keadaan angin di Selat Melaka Utara dijangka bertiup dari arah barat laut dengan kelajuan antara 30 hingga 40 kilometer sejam dengan ombak setinggi 1.5 hingga 2.5 meter.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terutama ketika berlakunya ribut petir dan angin kencang selain menangguhkan aktiviti luar sekiranya cuaca buruk berlaku,” katanya.
METMalaysia turut menyarankan orang awam mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman web rasmi jabatan itu, aplikasi myCuaca serta platform media sosial rasmi METMalaysia. – UTUSAN










