PETALING JAYA: Musim Monsun Barat Daya dijangka bermula pada Khamis ini berikutan keadaan angin yang diramal mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, sepanjang musim berkenaan kadar kelembapan udara akan menjadi rendah menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.

Katanya, sehubungan itu, negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.
“Musim tersebut dijangka akan berakhir pada bulan September ini, bagaimanapun hujan lebat beserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, khususnya pada awal pagi susulan kehadiran fenomena garis badai (squall line).
“Ia merupakan barisan ribut petir yang terbentuk di perairan Selat Melaka dan timur Laut Cina Selatan sebelum bergerak ke kawasan daratan akibat daripada penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Hisham, semasa kemuncak musim ini pada Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal di kawasan terlibat.
Sehubungan itu, orang ramai disaran mengelakkan sebarang pembakaran terbuka bagi menghindari bencana jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan serta mencemarkan kualiti alam sekitar negara.
“Orang ramai turut digalakkan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh berkenaan berikutan taburan hujan yang sedikit dan tidak menentu di beberapa kawasan.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca, media sosial Jabatan serta menghubungi Hotline 1-300-22-1638 bagi pertanyaan lanjut,” katanya. – UTUSAN










