PETALING JAYA: Respon Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meningkatkan keresahan awam.
Ia sekali gus mencetuskan kontroversi baharu yang tidak perlu pada saat suhu ketegangan kaum dan agama dalam masyarakat sudah sedia tinggi.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya memandang serius kenyataan balas Tony terhadap titah dan nasihat Sultan Selangor berkait keutamaan sikap menghormati asas Perlembagaan, memelihara keharmonian kaum dan melindungi sensitiviti yang menyatukan masyarakat majmuk.
Katanya, Pas percaya respons atau kenyataan melibatkan institusi Raja-raja Melayu hendaklah dibuat dengan penuh hati-hati, adab dan kehormatan.
Tambahnya, ia perlu setanding dengan status serta peranan Perlembagaan, sejarah dan budaya yang dimainkan oleh raja-raja sebagai tonggak kestabilan dan kedaulatan negara dalam kerangka sistem demokrasi Malaysia.
“Titah baginda hendaklah difahami dalam konteks luas melalui lensa semangat tanggungjawab kebangsaan dan sikap sederhana.
“Agar semua pihak tidak bertindak atau membuat kenyataan yang boleh memarakkan sentimen perkauman, menghakis kerukunan sosial atau melemahkan rasa hormat terhadap institusi institusi teras, asas sejarah dan jati diri kebangsaan yang menjadi tonggak pembinaan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, episod terbaru itu tidak boleh dilihat secara terpisah dan berasingan daripada perkembangan luas yang menyaksikan meningkatnya pertikaian awam yang memecah kerukunan melibatkan pelbagai isu.
Katanya, ia termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), penggunaan bahasa Cina pada dokumen rasmi kerajaan, penternakan babi di Selangor, selain perdebatan mengenai Perlembagaan, dasar-dasar kerajaan, bahasa Kebangsaan, dasar dan falsafah pendidikan kebangsaan, selain isu-isu agama dan kaum.
“Dalam pada itu, sikap menolak atau mempersoalkan titah dan nasihat diraja dengan berselindung di sebalik kedaulatan perlembagaan atau tafsiran konsep Raja Berperlembagaan apabila ia tidak sesuai dengan selera dan kepentingan kita, tetapi menerima dan menjunjungnya jika ia selari dengan kehendak sendiri.
“Ia hanya mendedahkan sifat hipokrit dan oportunis seseorang, bukan membuktikan patriotisme atau sikap hormat kepada undang-undang dan kedaulatannya,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, isu-isu yang timbul mungkin boleh dianggap dan ditangani sebagai isu pentadbiran atau pendekatan namun apabila ia diperdebatkan dalam persekitaran yang sarat emosi, konfrontatif dan dipolitikkan, maka secara kumulatif ia akan menyumbang kepada meningkatnya keresahan awam.-UTUSAN










