PETALING JAYA: Pelakon, Trisha Ooi meminta bantuan orang ramai untuk berkongsi doa atau titipan kata semangat selepas mendakwa dirinya difitnah oleh seorang individu.
Menurut Trisha, tindakan individu berkenaan bukan sahaja membuatkan dirinya berasa kesal, malah turut menjejaskan imej dan periuk nasinya.
“Boleh kongsikan doa atau ayat untuk kuatkan hati apabila diuji dengan fitnah orang?
“Apabila benda yang tidak betul mula menjejaskan rezeki dan kerja, macam mana nak pujuk hati untuk terus tenang?” katanya di Threads.
Trisha bagaimanapun tidak mendedahkan identiti individu yang didakwa telah menabur fitnah terhadapnya sehingga menjejaskan reputasinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata rakan selebriti tampil memberi kata-kata semangat untuk pelakon drama Jika Cinta Itu Buta tersebut agar terus bersabar dan kuat menghadapi ujian.
“Sentiasa percaya cepat atau lambat kebenaran akan terbongkar. Allah sentiasa ada dengan orang yang dikhianati. Perkara itu sentiasa buat saya tenang. Terus kuat,” komen Daiyan Trisha.
“Terus fokus kepada diri awak sendiri sayang. Percayalah, ia tidak mudah tetapi berbaloi,” komen Faye Kusairi.










