Tubuh institusi latihan khusus TVET-francais

Tubuh institusi latihan khusus TVET-francais

ARMIZAN Mohd. Ali sewaktu merasmikan Majlis Pembukaan Seminar dan Pameran Francais Antarabangsa Ke-33, Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penubuhan institusi latihan khusus yang menyelaras program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan keperluan industri francais sedang dirangka bersama Persatuan Francais Malaysia (MFA).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, industri francais perlu memanfaatkan TVET untuk memperluas pasaran antarabangsa serta melahirkan bakat berkemahiran tinggi.

Beliau berkata, perkembangan semasa menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh ekosistem latihan TVET supaya selari dengan kehendak sebenar industri francais.

Katanya, TVET mampu melengkapkan individu dengan kemahiran teknikal, digital serta perkhidmatan pelanggan yang diperlukan oleh perniagaan francais moden.

“Melalui pembelajaran praktikal, TVET mampu melengkapkan individu dengan kemahiran teknikal, digital serta perkhidmatan pelanggan diperlukan oleh perniagaan francais moden hari ini.

“Usaha itu juga mampu membantu mengurangkan masalah kekurangan tenaga kerja, sekali gus meningkatkan produktiviti serta memperkukuh standard perkhidmatan dalam sektor francais negara,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali sempena Majlis Pembukaan Seminar dan Pameran Francais Antarabangsa Ke-33 Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, industri francais berkembang pesat merangkumi pelbagai sektor seperti pendidikan, kesihatan, runcit, logistik, teknologi dan perkhidmatan profesional yang memerlukan tenaga kerja mahir.

Katanya, kepentingan inovasi, pendigitalan serta peluasan pasaran antarabangsa amat penting bagi memastikan daya saing industri francais negara kekal relevan dan mampan.

“Oleh itu, kita menyasarkan industri francais ini mampu menyumbang sebanyak RM100 bilion menjelang 2030.

“Dengan sokongan TVET, industri francais negara diyakini mampu berkembang lebih kompetitif, berdaya tahan serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi inklusif,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai pengeksport jenama serta kepakaran keusahawanan ke peringkat serantau dan global.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN