KANGAR: Masalah penyalahgunaan dan penagihan dadah di negeri ini menunjukkan trend membimbangkan apabila merekodkan 2,890 individu terlibat sepanjang tahun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zainuddin Abdullah berkata, masalah berkenaan menunjukkan ancaman dadah bukan sahaja merupakan jenayah malah telah menjadi isu kesihatan awam dan kesejahteraan sosial yang memerlukan perhatian serius semua pihak.
Sehubungan itu, katanya, semua jabatan, agensi dan pihak berkepentingan perlu terus memperkukuh sinergi strategik melalui pendekatan menyeluruh.
“Ia merangkumi aspek pencegahan, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan dan penglibatan komuniti,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Perlis 2026 di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Zainuddin berkata, pada tahun lalu, seramai 21,794 klien menjalani program rawatan dan pemulihan dalam komuniti seluruh negara telah mencapai status kekal pulih.
Katanya, kadar kepulihan itu telah mencapai 81 peratus daripada 26,852 jumlah keseluruhan klien yang dinilai.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa modul rawatan AADK berada pada landasan tepat dan telah melebihi pencapaian dilaporkan National Institute on Drug Abuse (NIDA) dengan kadar kepulihan antara 40 hingga 60 peratus,” katanya.
Zainuddin berkata, Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) juga akan dilaksanakan AADK bermula di Felda Mata Ayer, Padang Besar sebagai inisiatif terbaharu dalam usaha memerangi ancaman dadah bagi tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, KABD adalah platform turun padang AADK dalam melaksanakan pelbagai program bersesuaian berasaskan tiga teras utama iaitu pencegahan, rawatan, pemulihan, penguatkuasaan dan keselamatan untuk membersihkan kampung angkat daripada masalah dadah.
“Objektif program adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah, mengaktif dan membentuk komuniti proaktif dalam pencegahan dadah serta memberi sokongan dan pemulihan kepada klien dalam komuniti dan pejuang kepulihan,” katanya.
Katanya, pada masa sama, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada pemerkasaan Program Skuad Antidadah Perlis sebagai platform kesukarelawanan komuniti dan belia dalam membanteras gejala dadah.-UTUSAN










