Rejim Israel terdesak tahan peserta GSF pada waktu siang

Rejim Israel terdesak tahan peserta GSF pada waktu siang

SANI Araby Abdul Alim menunjukkan rakyat Malaysia yang menyertai GSF 2.0 ditahan pada sidang akhbar perkembangan terkini GSF 2.0 di SNCC, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Tindakan rejim Zionis Israel menahan peserta Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 pada waktu siang membuktikan bahawa rejim itu semakin terdesak untuk menyekat misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, ini merupakan kali pertama pemintasan dilakukan pada waktu siang sepanjang penglibatan GSF.

Menurutnya, pihak GSF sebelum ini menjangkakan pemintasan berkemungkinan berlaku berhampiran perairan Greece dan menyangka ia akan dilakukan pada waktu malam.

“Namun mereka hadir dengan banyak bot pada waktu siang, menunjukkan pihak rejim sangat terdesak,” katanya menerusi sidang akhbar di SNCC di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 16 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi GSF 2.0 ditahan tentera Israel hari ini selepas kapal yang dinaiki mereka dipintas ketika dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Mengulas lanjut, Sani Araby berkata, kapal-kapal yang belum dipintas dijangka akan terus berlayar sedekat mungkin ke kawasan perairan Gaza bagi meneruskan misi kemanusiaan tersebut.

Manakala, katanya, peserta GSF yang telah ditahan pula dipercayai dipindahkan ke kapal tahanan milik rejim Zionis di tengah laut dan proses itu dijangka mengambil masa panjang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihak SNCC juga telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wisma Putra berhubung penahanan rakyat Malaysia oleh rejim zionis Israel.

Sani Araby berkata, SNCC turut memohon campur tangan segera kerajaan untuk menghubungi pihak berkaitan bagi mendesak pembebasan kesemua rakyat Malaysia yang terlibat.

Menurutnya, tindakan Israel itu dilakukan secara sengaja walaupun pelbagai peringatan dan ugutan sekatan telah dinyatakan oleh masyarakat antarabangsa terhadap rejim berkenaan.

“Kita lihat kali ini mereka masih melakukan tindakan ini walaupun sudah diberikan peringatan dan ugutan sekatan di peringkat dunia,” katanya.

Katanya lagi, lebih banyak kapal yang ditahan di laut ketika ini bakal menjadi bukti tambahan kepada GSF untuk membawa isu berkenaan ke peringkat antarabangsa.

Jelasnya, bukti yang dikumpulkan itu akan digunakan untuk mengheret rejim Zionis ke muka pengadilan antarabangsa atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan undang-undang maritim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN