Ramai jemaah Malaysia dijangkiti pneumonia

Ramai jemaah Malaysia dijangkiti pneumonia

-JEMAAH haji dinasihatkan memakai pelitup muka ekoran peningkatan jangkitan paru-paru atau pneumonia menjelang hari wukuf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jangkitan paru-paru atau pneumonia dan penyakit kardiovaskular kekal antara kes paling tinggi direkodkan dalam kalangan jemaah haji Malaysia.

Ketua Pakar Perubatan Operasi Haji, Dr. Muhammad Taufiq Rosli berkata, penurunan sistem imun badan dalam kalangan jemaah haji menjadi antara faktor utama peningkatan risiko jangkitan penyakit, khususnya pneumonia.

Menurut beliau, keadaan itu menjadi lebih ketara apabila jemaah dari pelbagai negara berkumpul dalam jumlah jutaan dan mereka terdedah kepada pelbagai virus baharu yang mungkin belum mempunyai antibodi dalam badan.

“Bila sistem imun turun, mudah kuman menyerang. Tambahan pula di sini kita ada jutaan jemaah dari seluruh dunia. Banyak virus yang badan kita belum ada antibodi. Situasi itu menyebabkan kes pneumonia sering dilaporkan sepanjang musim haji.

“Selain itu, terdapat peningkatan kecil kes strok dan sera­ngan jantung akibat tekanan darah tidak terkawal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Taufiq mengingatkan jemaah agar tidak menangguhkan rawatan sekiranya mengalami gejala penyakit.

“Jangan tunggu sehingga keadaan teruk. Datang awal untuk rawatan supaya kita boleh cegah komplikasi,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pengambilan air mencukupi dan pematuhan jadual ubat sebagai langkah pencegahan utama.

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Taufiq berkata, pasukan Rombongan Perubatan Haji musim 1447 Hijrah kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi kemuncak operasi ketika tempoh masyair, yang disifatkan sebagai fasa pa­ling mencabar sepanjang musim haji.

Katanya, keseluruhan tenaga perubatan yang merangkumi pelbagai kepakaran termasuk respiratori, kardiologi, psikiatri dan ortopedik telah disusun secara menyeluruh bagi memastikan perkhidmatan optimum kepada jemaah.

Menurut beliau, selain doktor pakar, setiap maktab turut dilengkapi pegawai perubatan, paramedik serta pasukan kecemasan yang beroperasi sepanjang masa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN