Rakyat Malaysia kedua tertinggi di Asia Tenggara utamakan simpanan dan kesihatan - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia kedua tertinggi di Asia Tenggara utamakan simpanan dan kesihatan

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengguna di Malaysia merekodkan trend berwaspada yang tinggi dalam pengurusan kewangan apabila muncul antara kelompok paling utama di Asia Tenggara yang memilih untuk meningkatkan simpanan dan perbelanjaan kesihatan ekoran ketidaktentuan geopolitik global.

Dapatan tersebut menerusi Kajian Pengguna Milieu 2026 yang melibatkan 3,000 responden di enam buah negara serantau termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, dan Filipina pada April lalu.

Menerusi kajian itu, Malaysia menduduki tempat kedua tertinggi di rantau ini bagi unjuran peningkatan simpanan dan pelaburan untuk suku tahunan akan datang dengan rekod 42 peratus, mengekori Filipina (54 peratus) dan mendahului Indonesia (40 peratus).

Selain fokus pertahanan simpanan, pasaran domestik turut mempamerkan ketahanan tinggi dalam aspek penjagaan diri apabila Malaysia merekodkan 35 peratus pengguna yang berbelanja lebih untuk produk kesihatan dan badan sepanjang bulan lalu, hanya di belakang Filipina (36 peratus).

Secara menyeluruh, Ketua Pegawai Eksekutif Milieu Asia Tenggara, Cindy Pang berkata, fasa tingkah laku pengguna serantau telah berubah daripada sekadar bersifat ‘berhati-hati’ pada tahun lalu kepada corak perbelanjaan yang lebih ‘berhemat dan sengaja’ bagi mendepani tahun 2026.

“Pengguna di Asia Tenggara kini menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan berbanding hanya menunggu keadaan bertambah baik. Kita melihat peralihan ke arah amalan berhemat di mana faktor nilai, daya tahan, dan keselamatan kewangan menjadi keutamaan dalam keputusan pembelian harian,” katanya dalam kenyataan.

Kajian itu turut mendedahkan bahawa konflik global dan ketidakstabilan politik buat pertama kalinya memberi kesan langsung kepada kuasa beli komuniti, di mana 51 peratus responden bertindak mengurangkan perbelanjaan barangan bukan keperluan (non-essential goods).

Malah, sekitar 23 peratus pengguna mula memboikot atau mengelak secara aktif daripada membeli produk dan jenama yang datang dari negara-negara yang terlibat dalam konflik peperangan.

Sebaliknya, sektor pelancongan menunjukkan trend penyusutan ketara di peringkat serantau apabila hanya 17 peratus pengguna merancang untuk berbelanja lebih bagi aktiviti perlancongan dalam tempoh tiga bulan akan datang, berbanding 33 peratus yang dicatatkan pada tahun 2025.

Bagi sektor runcit dan penjenamaan, faktor harga kekal menjadi pemacu utama penguasaan pasaran dengan 71 peratus pengguna meletakkan ‘harga terbaik’ sebagai penentu pembelian, disusuli tawaran diskaun (58 peratus).

Bagaimanapun, untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan dalam tempoh mencabar ini, kajian membuktikan keandalan kualiti produk dan tawaran yang berbaloi dengan nilai wang bertindak sebagai elemen paling kritikal berbanding strategi promosi semata-mata. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN