9 jam tempoh paling kritikal peserta GSF yang masih berlayar

9 jam tempoh paling kritikal peserta GSF yang masih berlayar

SANI Araby Abdul Alim menunjukkan 25 rakyat Malaysia yang telah ditahan oleh IOF tentera laut rejim zionis Israel pada sidang akhbar perkembangan terkini misi GSF 2.0 ke Gaza di SNCC, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sembilan jam daripada sekarang disifatkan sebagai tempoh paling kritikal bagi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk peserta dari Malaysia yang masih berlayar, sama ada mereka berjaya memasuki perairan Gaza atau sebaliknya.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, berdasarkan sistem penjejakan semasa (tracker), kapal flotila itu dijangka menghampiri perairan Gaza dalam tempoh kira-kira sembilan jam lagi dengan kelajuan sekitar 15 kilometer sejam atau lapan knot.

Menurutnya, tempoh itu merupakan pecutan terakhir buat peserta flotila yang terus mara ke hadapan, walaupun berdepan risiko dipintas atau ditahan tentera laut rejim Israel (IOF).

“Kita jangkakan lagi sembilan jam ini sangat mendebarkan, ini adalah pecutan akhir bagi anak muda Malaysia yang patut kita banggakan.

“Mereka tidak berpatah hati, tidak lari dan terus bergerak ke hadapan. Sama ada mereka diculik selepas ini, sebenarnya mereka sudah menang,” katanya menerusi sidang akhbar di SNCC di sini hari ini.

Sani Araby turut mengesahkan setakat pukul 4 petang hari ini, empat rakyat Malaysia yang masih selamat dan meneruskan pelayaran terdiri daripada Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs dan pembantu perubatan dikenali sebagai Chin di atas kapal Alcyone, Syed Amirul (kapal Don Juan) serta Noor Thanisah di atas kapal Zefiro.

Beliau berkata, sebanyak 10 buah kapal GSF kini sedang berada di Zon Merah 2 kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza dan masih berlayar menuju ke Gaza iaitu Alcyone, Andros, Cabo Blanco, Don Juan, Elengi, Girolama, Kasr-i-Sadabad, Lina, Sirius dan Zefiro.

Dalam pada itu, Sani Araby berkata, SNCC kini memantau rapat dua senario berbeza berhubung kemungkinan tindakan rejim Zionis terhadap peserta GSF yang telah ditahan sejak semalam.

Jelasnya, senario pertama melibatkan maklumat awal mengenai pergerakan kapal tentera rejim Zionis yang dipercayai membawa tahanan melibatkan peserta GSF sedang menuju ke Greece, manakala senario kedua pula berdasarkan kenyataan Menteri Luar Itali yang memaklumkan bahawa kapal tentera Israel itu dijangka akan tiba ke pelabuhan Ashdod, esok.

“Kedua-dua senario ini mempunyai kebarangkalian tinggi dan mungkin juga sebahagian daripada usaha Israel mengalih perhatian kerana sehingga kini kita masih belum pasti ke mana sebenarnya peserta flotila akan dibawa.

“Israel sebelum ini juga dilaporkan membuat pindaan undang-undang khusus terhadap GSF, iaitu tempoh tahanan selepas dibawa ke darat dipendekkan daripada 72 jam kepada 24 jam, jadi helah yang mungkin dimainkan adalah menculik dan menahan lebih lama di dalam kapal di atas laut, itu yang kita rasakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN