Pasaran hartanah Malaysia catat prestasi sederhana - Utusan Malaysia

Pasaran hartanah Malaysia catat prestasi sederhana

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah menunjukkan prestasi lebih sederhana pada suku pertama 2026 , mencerminkan sentimen pembeli yang semakin berhati-hati susulan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan geopolitik global.

Menurut MBSB Research, jumlah permohonan pinjaman hartanah pulih kepada RM54.2 bilion pada Mac 2026, meningkat 48 peratus bulan ke bulan selepas susut ketara 30.9 peratus pada Februari 2026. 

“Kemerosotan pada Februari sebahagian besarnya dipengaruhi oleh tempoh bulan yang lebih pendek serta cuti perayaan yang menjejaskan aktiviti permohonan pinjaman.

“Bagaimanapun, secara tahunan, permohonan pinjaman mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. 

“Keadaan ini dikaitkan dengan sentimen pasaran yang lebih lemah akibat ketegangan geopolitik susulan konflik Amerika Syarikat–Iran,” katanya dalam nota penyelidikan.

Secara kumulatif, jumlah permohonan pinjaman pada suku pertama tahun kewangan 2026 berjumlah RM143.9 bilion, susut dua peratus tahun ke tahun. 

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan minat pembelian hartanah akan terus perlahan dalam jangka masa terdekat berikutan kenaikan kos bahan api yang dijangka meningkatkan tekanan inflasi dan menjejaskan kemampuan pembeli rumah.

Dalam masa sama, jumlah pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah meningkat kepada RM22 bilion pada Mac 2026, naik 40.7 peratus bulan ke bulan selepas merosot 29.6 peratus spada Februari. 

“Peningkatan itu didorong oleh pemulihan dalam permohonan pinjaman.

“Namun, secara tahunan, jumlah kelulusan pinjaman menurun 5.4 peratus disebabkan kadar kelulusan yang lebih rendah iaitu 40.6 peratus pada Mac 2026 berbanding 42.7 peratus pada Mac 2025. 

“Secara keseluruhan, jumlah pinjaman diluluskan bagi suku pertama tahun kewangan 2026 kekal hampir tidak berubah pada RM59.9 bilion, meningkat tipis 0.1 peratus tahun ke tahun,” katanya. 

Selain itu, data daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan jumlah hartanah kediaman siap dibina tetapi tidak terjual terus meningkat kepada 32,801 unit pada suku pertama tahun kewangan 2026, berbanding 30,471 unit pada suku sebelumnya.

Kenaikan terbesar direkodkan di Kuala Lumpur dengan tambahan 1,678 unit, diikuti Melaka (+471 unit) dan Pahang (+445 unit). 

Negeri dengan jumlah lebihan kediaman tertinggi ialah Perak (4,063 unit), Johor (3,852 unit), Selangor (3,745 unit), Kuala Lumpur (3,733 unit) dan Pulau Pinang (3,165 unit).

Peningkatan lebihan hartanah ini menandakan bekalan masih mengatasi permintaan, sekali gus menimbulkan risiko kepada sektor hartanah apabila pemaju dijangka memperlahankan pelancaran projek baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat pemaju Mah Sing Group mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran RM1.25. 

Syarikat itu menetapkan sasaran jualan baharu sebanyak RM2.76 bilion bagi tahun kewangan 2026, disokong oleh strategi pembelian tanah aktif dan pengembangan segmen hartanah industri.

Sementara itu, Matrix Concepts turut mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran RM1.55. 

Projek MVV City dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan pendapatan utama syarikat, selain momentum positif projek di Lembah Klang dan pulangan dividen menarik sekitar 5.2 peratus. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN