PETALING JAYA: Kadar inflasi negara meningkat kepada 1.9 peratus pada April 2026 berbanding 1.7 peratus yang dicatatkan pada Mac lalu, didorong terutamanya oleh lonjakan kos pengangkutan susulan pelarasan harga bahan api pasaran.
Kenaikan tersebut menyaksikan Indeks Harga Pengguna (IHP) melonjak kepada 136.9 berbanding 134.3 bagi tempoh sama tahun sebelum ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, inflasi bagi kumpulan pengangkutan mencatatkan lonjakan ketara kepada 4.1 peratus berbanding hanya 1.6 peratus pada Mac 2026.
Menurut beliau, trend itu dipacu secara langsung oleh inflasi subkumpulan pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang melonjak kepada 4.8 peratus ekoran perubahan harga runcit petrol dan diesel.
“Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada April 2026 meningkat kepada RM5.06 seliter berbanding RM4.03 seliter pada Mac 2026.
“Bagi purata harga diesel di Semenanjung Malaysia pula, ia merekodkan peningkatan kepada RM5.92 seliter berbanding RM4.12 seliter pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, kumpulan makanan dan minuman yang memegang wajaran terbesar IHP (29.8 peratus) turut naik 1.2 peratus, disumbangkan oleh inflasi subkumpulan makanan di luar rumah yang meningkat kepada 2.6 peratus.
Antara menu luar rumah yang dikesan mengalami kenaikan harga ialah masakan daging (4.8 peratus), kek (4.6 peratus), martabak (4.3 peratus), dan nasi goreng (3.9 peratus), manakala komponen bahan mentah di rumah seperti daging, sayur, serta susu dan telur didapati menyederhana.
Secara keseluruhan, sebanyak 364 daripada 573 item (63.5 peratus) merekodkan kenaikan harga pada April lalu, dengan majoriti besarnya (97.8 peratus) mengekalkan kadar kenaikan yang terkawal di bawah paras 10 peratus.
Mengikut pecahan geografi, lapan buah negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi paras nasional termasuk Pahang (2.8 peratus), Labuan (2.7 peratus), Negeri Sembilan (2.5 peratus), Kuala Lumpur (2.5 peratus), Johor (2.4 peratus), Sabah (2.1 peratus), Putrajaya (2.1 peratus) dan Selangor (2.0 peratus).
Bagaimanapun, kompas inflasi Malaysia secara amnya masih berada pada tahap yang lebih rendah jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Filipina (7.2 peratus), Vietnam (5.5 peratus), Thailand (2.9 peratus), Korea Selatan (2.6 peratus) dan Indonesia (2.4 peratus). – UTUSAN










