PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad memperoleh lanjutan operasi bagi dua loji jana kuasa berasaskan gas miliknya di Lumut, Perak dengan kapasiti gabungan sebanyak 1,732 megawatt (MW) sehingga akhir 2029.
Syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) itu berkata, anak syarikatnya, GB3 Sdn. Bhd. dan Segari Energy Ventures Sdn. Bha. menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) baharu dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 15 Mei 2026.
Di bawah perjanjian tersebut, operasi komersial bagi loji turbin gas kitaran terbuka (OCGT) GB3 berkapasiti 429MW dijadual bermula selewat-lewatnya pada 1 Januari 2027, manakala loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT) Segari berkapasiti 1,303MW akan memulakan operasi selewat-lewatnya pada 1 Julai 2027.
PPA asal loji GB3 selama 21 tahun telah tamat pada 30 Disember 2022, manakala loji Segari yang tamat konsesi pada 30 Jun 2017 kini berada di bawah lanjutan operasi selama 10 tahun sehingga 30 Jun 2027.
Berdasarkan laporan tahunan 2025, Malakoff memiliki 93.75 peratus pegangan ekuiti dalam loji Segari dan 75 peratus dalam GB3.
Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, lanjutan operasi itu mencerminkan keyakinan terhadap prestasi dan kebolehpercayaan loji jana kuasa berkenaan dalam menyokong kestabilan bekalan elektrik negara.
“Pelanjutan operasi ini merupakan langkah praktikal dan bertanggungjawab kerana ia membolehkan kemudahan jana kuasa gas yang terbukti terus menyumbang kapasiti fleksibel dan boleh dihantar kepada grid nasional, terutama ketika permintaan tinggi.
“Pada masa sama, ia membolehkan penggunaan infrastruktur sedia ada dimanfaatkan secara lebih kos efektif,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pertumbuhan berterusan Malaysia bergantung kepada mempunyai bekalan kuasa yang konsisten dan ini adalah stesen-stesen yang mantap dengan rekod prestasi operasi yang kukuh.
“Melanjutkan operasi mereka memastikan kebolehpercayaan itu dikekalkan tanpa gangguan, walaupun ketika kami berusaha ke arah membina sistem tenaga masa hadapan.
“PPA baharu ini juga dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan aset bersih Malakoff sepanjang tempoh pelanjutan, mencerminkan nilai jangka panjang pengurusan aset yang berdisiplin dan memastikan perniagaan Tenaga kami kekal teguh sebagai tonggak utama kumpulan,” katanya.
Pada Mac lalu, Malakoff turut menerima lanjutan kontrak daripada TNB bagi loji jana kuasa Prai berkapasiti 350MW di Pulau Pinang sehingga Mac 2030. – UTUSAN










