Untung bersih AmanahRaya REIT naik 61.4 peratus pada suku pertama - Utusan Malaysia

Untung bersih AmanahRaya REIT naik 61.4 peratus pada suku pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AmanahRaya Real Estate Investment Trust mencatatkan untung bersih RM5.44 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, meningkat 61.4 peratus berbanding RM3.37 juta pada tempoh sama tahun lalu, didorong prestasi operasi teras yang lebih kukuh merentasi portfolionya.

Pendapatan harta bersih (NPI) turut meningkat 28.6 peratus kepada RM16.38 juta daripada RM12.73 juta sebelum ini, disokong oleh peningkatan hasil sewaan serta kecekapan operasi yang lebih baik.

Pengarah Urusan AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd. (AKRM), Datuk Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata prestasi lebih baik itu mencerminkan ketahanan portfolio hartanah pelbagai AmanahRaya REIT serta keberkesanan inisiatif penambahbaikan aset dan strategi pajakan yang dilaksanakan.

“Pemulihan kadar penghunian serta sumbangan daripada aset baharu terus memperkukuh aliran pendapatan berulang dan kestabilan operasi,” katanya dalam kenyataan.

Bagi suku tahun berkenaan, jumlah pendapatan sewaan meningkat 16.4 peratus kepada RM23.20 juta daripada RM19.92 juta setahun lalu.

Menurut beliau, prestasi itu disokong terutama oleh peningkatan penghunian di Vista Tower dan Menara Dana 13, selain kenaikan sumbangan sewaan daripada beberapa hartanah lain.

“Pendapatan turut diperkukuh oleh aset industri baharu di Telok Panglima Garang selepas pengambilalihan selesai pada Disember 2025,” katanya.

Dalam masa sama, perbelanjaan operasi hartanah susut 5.2 peratus kepada RM6.82 juta daripada RM7.19 juta, susulan penambahbaikan pengurusan kontrak dan usaha pengoptimuman kos di beberapa hartanah.

Bagaimanapun, jumlah perbelanjaan amanah meningkat 14 peratus kepada RM10.66 juta daripada RM9.37 juta, sejajar dengan pertambahan pendapatan sewaan termasuk fi pengurus dan agensi serta kos pembiayaan pinjaman bagi pemerolehan aset baharu pada Disember 2025.

Setakat 31 Mac 2026, nilai aset bersih (NAV) AmanahRaya REIT berjumlah RM720.73 juta, bersamaan RM1.2573 sesaham, berbanding RM1.2479 pada 31 Disember 2025. Nisbah gearing kekal pada tahap terkawal iaitu 45.92 peratus.

Mengenai prospek, beliau berkata pengurusan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti portfolio melalui penambahbaikan aset, pengoptimuman penyewa serta pengurusan modal yang berhemah.

“Usaha memulihkan aset terpilih serta kitar semula modal daripada hartanah lama dijangka menyokong kelestarian pendapatan jangka panjang dan penciptaan nilai portfolio,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN