KUALA LUMPUR: Pengeluar makanan ruji, Malayan Flour Mills Berhad (MFM) memperuntukkan perbelanjaan modal (Capex) sebanyak RM100 juta bagi tempoh dua tahun kewangan akan datang untuk meningkatkan kapasiti pengilangan tepung harian di Vietnam serta memacu automasi di Malaysia.
Langkah perluasan itu menyaksikan kapasiti pengilangan di utara Vietnam ditingkatkan daripada 2,000 tan sehari kepada 2,500 tan sehari bagi memenuhi permintaan serantau memandangkan operasi sedia ada di sana sudah mencapai kapasiti penuh.
Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye berkata, pelan pelaburan tersebut adalah kesinambungan daripada projek fasa terdahulu yang menyaksikan kumpulan berjaya meningkatkan kapasiti pengilangan daripada 600 tan sehari kepada 2,500 tan sehari sekitar Mac hingga April tahun lalu.
“Bagi fasa seterusnya di Malaysia, kami sedang meneliti perancangan untuk memperluas sebuah lagi kilang berkapasiti 400 tan yang telah beroperasi sejak 40 hingga 50 tahun lalu, selain beralih kepada sistem automasi penuh bagi pembungkusan tepung bersaiz 25 kilogram (kg) dan 1kg.
“Sebagai salah satu pengeluar makanan ruji terkemuka, kami bertanggungjawab memastikan bekalan makanan penting sentiasa stabil. Pelaburan merentasi rantaian nilai bersepadu ini penting untuk meningkatkan daya tahan operasi jangka panjang serta mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai pemain sekuriti makanan serantau,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-66 kumpulan di sini, hari ini.
Mengulas mengenai unjuran margin syarikat di sebalik kenaikan harga niaga hadapan gandum sekitar 20 peratus awal tahun ini, Wee Chye tidak menolak tekanan pasaran global berikutan faktor cuaca buruk di Amerika Syarikat (AS) serta konflik geopolitik di Asia Barat yang mendorong lonjakan harga baja antara 50 hingga 100 peratus.
“Jika konflik berlarutan dan harga tidak meningkat selari dengan kos baja yang tinggi, sebilangan petani mungkin enggan meneruskan tanaman. Walaupun situasi ini di luar kawalan, kami melihat industri makanan ruji tetap berdaya tahan kerana berdasarkan pengalaman krisis kewangan global 2008 dan perang di ukraine, masyarakat tetap memerlukan makanan,” katanya.
Daripada keseluruhan modal RM100 juta bagi tempoh sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 itu, sebanyak RM80 juta akan disalurkan kepada anak syarikatnya, Vimaflour Ltd. di Vietnam, manakala baki RM20 juta digunakan bagi tujuan naik taraf teknologi di Malaysia.
Sementara itu, prestasi segmen Perdagangan Tepung dan Bijirin (FGT) MFM bagi tahun kewangan 2025 mencatatkan peningkatan keuntungan bersih selepas cukai dilaraskan sebanyak 21.8 peratus kepada RM153.6 juta.
Bagi perniagaan integrasi ayam itik, MFM dengan kerjasama strategik Tyson Foods kini mula menembusi pasaran makanan sedia dimakan (RTE) halal menerusi pengenalan empat menu gelombang mikro iaitu Sate Ayam Bakar Arang, Ayam Masak Merah, Ayam Kicap, dan Ayam Kam Heong.
Kumpulan turut mengekalkan polisi dividennya dengan membayar tidak kurang daripada 30 peratus daripada keuntungan bersih boleh diagih kepada pemegang saham (PATMI).
Bagi tahun kewangan 2025, dividen sebanyak 3.5 sen sesaham (RM43.4 juta) telah dibayar, bersamaan 31 peratus daripada PATMI berjumlah RM139.9 juta. –UTUSAN










