EU-China lancar kapal angkasa kaji angin solar

EU-China lancar kapal angkasa kaji angin solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOUROU: Sebuah kapal angkasa hasil kerjasama Eropah dan China berjaya dilancarkan ke orbit pada Selasa bagi menyiasat apa yang berlaku apabila angin solar ekstrem dan letupan plasma gergasi dari matahari menghentam perisai magnet bumi.

Ribut solar yang kuat boleh menyebabkan satelit gagal berfungsi, mengancam angkasawan dan menghasilkan fenomena cahaya aurora yang memukau di langit, dikenali sebagai cahaya utara atau selatan.

Bagi memahami cuaca angkasa yang masih kurang difahami itu, kapal angkasa bersaiz van dikenali sebagai SMILE ditugaskan membuat pemerhatian sinar-X pertama terhadap medan magnet bumi.

Kapal angkasa itu berjaya dilancarkan menggunakan roket Vega-C pada pukul 3.52 pagi (waktu tempatan) dari pusat pelancaran angkasa Eropah di Kourou, Guiana Perancis, di pantai timur laut Amerika Selatan.

Sekitar 55 minit kemudian, SMILE berpisah daripada roket pada ketinggian 700 kilometer untuk meneruskan perjalanan sendiri ke orbit elips yang sangat luas ribuan kilometer di atas permukaan bumi.

SMILE akan berada pada ketinggian 5,000 kilometer ketika melintasi Kutub Selatan, sekali gus membolehkannya menghantar data ke stesen penyelidikan Bernardo O’Higgins di Antartika.

Namun kapal angkasa itu akan berada pada ketinggian 121,000 kilometer ketika melintasi Kutub Utara, orbit yang menurut Agensi Angkasa Eropah (ESA) membolehkan misi itu memerhati cahaya aurora utara tanpa henti selama 45 jam buat kali pertama.

SMILE, atau Solar Wind Magnetosphere Ionosphere Link Explorer, merupakan misi bersama antara ESA dan Akademi Sains China.

Angin solar ialah aliran zarah bercas yang dipancarkan dari matahari. Kadangkala angin itu bertukar menjadi ribut besar akibat letusan plasma gergasi dikenali sebagai lontaran jisim korona.

Bergerak pada kelajuan sekitar dua juta kilometer sejam, letupan kuat itu mengambil masa satu atau dua hari untuk sampai ke bumi.

Apabila tiba, medan magnet bumi bertindak sebagai perisai dengan memesongkan kebanyakan zarah bercas tersebut.

Namun ketika kejadian yang sangat kuat, sebahagian zarah boleh menembusi atmosfera bumi dan berpotensi menjejaskan grid kuasa atau rangkaian komunikasi.

Semasa ribut geomagnet paling buruk direkodkan pada tahun 1859, aurora terang dapat dilihat sejauh Panama di selatan, manakala pengendali telegraf di seluruh dunia mengalami renjatan elektrik.

Angin solar kini turut menjadi ancaman kepada satelit yang mengorbit bumi serta angkasawan di stesen angkasa.

Susulan ancaman itu, saintis mahu memahami cuaca angkasa dengan lebih mendalam supaya dunia dapat meramal dan bersedia menghadapi letupan besar pada masa depan.

Bagi membantu usaha itu, misi SMILE akan mengesan sinar-X yang terhasil apabila zarah bercas dari matahari berinteraksi dengan zarah neutral di atmosfera atas bumi.

SMILE dijangka mula mengumpul data hanya sejam selepas memasuki orbit. Misi itu dirancang berlangsung selama tiga tahun, namun boleh dilanjutkan jika semuanya berjalan lancar.

Pelancaran asal dijadual pada 9 April lalu tetapi ditangguhkan berikutan masalah teknikal.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN