PETALING JAYA: Penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 tidak wajar dilihat sekadar sebagai acara hiburan atau promosi pelancongan, sebaliknya perlu dinilai secara menyeluruh daripada sudut syarak, akhlak dan kemaslahatan masyarakat.
Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam Bayan Linnas Siri Ke-351, sebarang penganjuran program yang membuka ruang kepada pergaulan bebas, kelalaian serta keruntuhan akhlak bukan lagi dianggap hiburan ringan, sebaliknya satu isu besar yang memerlukan penilaian berhemah.
Malah, katanya, penganjuran festival berskala besar yang tidak dikawal juga berpotensi membawa pelbagai implikasi negatif termasuk normalisasi dosa, hilang kawalan diri serta pembaziran.
“Dalam keadaan seperti ini, mudarat yang dibimbangi adalah jauh lebih besar berbanding manfaat yang bersifat sementara.
“Justeru, kaedah menutup pintu-pintu kerosakan perlu diambil serius dalam menilai sesuatu penganjuran,” katanya.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berkata, konsep festival seperti ‘rave’ yang berasal dari Barat boleh menjejaskan nilai budaya tempatan jika tidak dikawal.
Malah, pengalaman juga membuktikan penganjuran konsert mega sering disusuli dengan insiden tidak diingini termasuk risiko keselamatan dan gangguan ketenteraman awam.
“Pihak berautoriti digesa menilai semula penganjuran acara berkenaan secara menyeluruh bagi memastikan ia tidak membawa lebih banyak mudarat kepada masyarakat.
“Kami menyeru agar penilaian dibuat dengan penuh hikmah, tanggungjawab dan keinsafan demi memelihara kesejahteraan masyarakat serta generasi muda,” katanya.
Menurut kenyataan sama, Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun ia perlu tertakluk kepada garis panduan syarak serta tidak melalaikan atau menjejaskan nilai moral.
Jelasnya, sekiranya sesuatu hiburan dicemari dengan unsur pergaulan bebas, arak dan perkara yang menjauhkan manusia daripada nilai agama, maka hukumnya boleh berubah menjadi haram.
“Perkara ini perlu dipertimbangkan secara serius kerana terdapat kebimbangan bahawa ia boleh membawa kepada kerosakan moral, jati diri dan tatasusila masyarakat,” katanya.-UTUSAN










