5 Seconds of Summer bakal kembali gegar Kuala Lumpur selepas sedekad - Utusan Malaysia

5 Seconds of Summer bakal kembali gegar Kuala Lumpur selepas sedekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 10 tahun, kumpulan pop-rock antarabangsa, 5 Seconds of Summer (5SOS), bakal kembali menghangatkan pentas Malaysia menerusi jelajah dunia terbaharu mereka, EVERYONE’S A STAR! 2026 World Tour.

Konsert yang dianjurkan oleh SAH Entertainment itu dijadual berlangsung pada 17 November 2026 di Unifi Arena KL, sekali gus menandakan kepulangan yang dinanti-nantikan peminat tempatan sejak sekian lama.

Kehadiran semula kumpulan dari Australia itu dijangka menjadi antara acara muzik paling berprofil tinggi tahun ini, apatah lagi dengan reputasi mereka sebagai antara band pop-rock berpengaruh yang berjaya meraih jualan multi-platinum di peringkat global.

Jelajah dunia tersebut diumumkan pada November 2025, seiring pelancaran album studio keenam mereka berjudul EVERYONE’S A STAR!, iaitu karya pertama sejak tahun 2022. Album berkenaan memperlihatkan evolusi muzik 5SOS dengan gabungan elemen alt-rock dan future punk/pop yang lebih segar serta berani.

Menerusi album itu, 5SOS turut menampilkan pendekatan baharu yang dipengaruhi oleh artis seperti N.E.R.D., Gorillaz dan The Prodigy, namun masih mengekalkan identiti tersendiri yang sinonim dengan persembahan bertenaga di pentas.

Persembahan di Kuala Lumpur nanti dijangka menyajikan gabungan lagu-lagu hit sepanjang kerjaya mereka, selain disokong visual imersif serta produksi bertaraf antarabangsa yang mampu memberikan pengalaman konsert luar biasa kepada peminat.

Ketua Pegawai Eksekutif SAH Entertainment, Sufi Rashid berkata, pihaknya yakin konsert tersebut akan mendapat sambutan hangat, khususnya daripada generasi muda.

“Gelombang kebangkitan semula artis rock legenda telah membuktikan bahawa Malaysia mempunyai pasaran peminat yang kuat. Dengan 5 Seconds of Summer, kami membawa sebuah kumpulan yang membesar bersama generasi hari ini.

“Ini adalah detik yang telah lama dinantikan selepas sedekad, dan kami tidak sabar menyaksikan peminat 5SOS berhimpun semula,” katanya.

Jualan tiket akan dibuka menerusi dua fasa iaitu pra-jualan artis pada 4 Mei 2026 bermula pukul 12 tengah hari hingga 11.59 malam, manakala jualan umum akan bermula pada 5 Mei 2026, pukul 12 tengah hari.

Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi www.golive-asia.com, manakala peminat juga boleh mendaftar untuk pra-jualan di laman rasmi 5SOS.

Konsert ini turut mendapat sokongan rakan media rasmi iaitu Hitz FM, Era FM, World of Buzz dan Astro Gempak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN