KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Sarah,41, mengakui dirinya pernah menjadi seorang wanita yang sangat defensif sebagai cara melindungi diri ketika melalui fasa sukar dalam hidup.
Menurutnya, sikap tersebut terbentuk kerana ketika itu dia merasakan dirinya bersendirian dan tidak mahu membebankan keluarga dengan masalah yang dihadapi.
“Sebelum ini, saya sangat defensif. Itu cara saya menjaga diri kerana pada masa itu saya tiada sesiapa. Saya tak mahu libatkan keluarga dan tak mahu mereka tahu, jadi saya simpan semuanya sendiri,” katanya.
Tambah bekas isteri kepada pengarah terkemuka, Syamsul Yusof ini lagi, keadaan itu menyebabkan dirinya beranggapan bahawa untuk terus bertahan, dia perlu menjadi seorang yang keras dan garang.
“Saya fikir untuk menjadi kuat, saya perlu jadi keras. Dulu, saya seorang yang berjuang, jadi dalam fikiran saya, pejuang itu perlu bersikap tegas dan garang.
“Selepas apa yang berlaku dalam hidup saya, saya sedar mungkin saya masih boleh jadi kuat, tetapi bukan dengan cara begitu,” jelasnya.
Kini, Sarah mengakui dirinya masih dalam proses memperbaiki diri dan berusaha mencari keseimbangan antara kekuatan dan kelembutan.
“Saya masih belajar untuk ke arah itu untuk ada kekuatan dan kelembutan sekali. Itu yang saya cuba capai sekarang. Doakan saya,” katanya.









