CARASAS: Penerbangan terus pertama antara Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela dalam tempoh tujuh tahun mendarat di Caracas, petanda baharu pemulihan hubungan selepas Washington menggulingkan pemimpin berhaluan kiri, Nicolas Maduro.
Penerbangan yang dikendalikan oleh Envoy Air, anak syarikat American Airlines, berlepas pada 10:26 pagi (waktu tempaatan) dari Miami menuju Caracas, di mana AS telah menyambung semula hubungan diplomatik selepas bertahun-tahun ketegangan.
Penerbangan 3599 itu mendarat kurang tiga jam kemudian. Sebahagian penumpang dilihat mengambil swafoto ketika turun dari pesawat.
Penerbangan itu melambangkan berakhirnya pengasingan Venezuela selama beberapa tahun oleh AS.
Ia juga menandakan negara Caribbean itu kembali berhubung dengan ruang udara antarabangsa selepas banyak syarikat penerbangan menghentikan operasi pada akhir tahun lalu, ketika kempen tekanan AS terhadap Maduro memuncak.
Sebagai sambutan, dua trak bomba Venezuela menyiram pesawat dengan air di landasan selepas ketibaannya.
Isabel Parra, seorang ejen pelancongan asal Venezuela berkata, dia tidak pulang ke negara itu sejak 2018 dan sangat teruja.
“Selama bertahun-tahun kami terpaksa transit melalui Curacao, Republik Dominika atau Bogota, jadi penerbangan terus ini satu kelegaan,” katanya.
Beliau berkata tiket penerbangan sulung berharga AS$3,000 (RM11,911), namun dijangka akan menurun apabila American Airlines memulakan penerbangan harian dua hala mulai 21 Mei.
Oscar Fuentes, seorang peguam berusia 64 tahun yang menetap di Houston, berada dalam kalangan penumpang yang beratur untuk penerbangan pulang ke Miami.
“Ia akan memudahkan hidup. Malam ini saya boleh tidur di katil sendiri!” katanya, selepas sebelum ini terpaksa transit di Republik Dominika.
Penerbangan itu menawarkan menu khas Venezuela termasuk penkek jagung dikenali sebagai cachapas dan salad ayam gaya Venezuela, menurut syarikat penerbangan.
Wakil bandar Miami, pusat komuniti Amerika Latin, menyambut penumpang di pintu pelepasan, termasuk Duta Venezuela ke Washington, Felix Plasencia.-AFP










