PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan berhubung siasatan mengenai kes penyelewengan melibatkan pelaburan berjumlah RM1.11 bilion.
Beliau yang juga bekas Menteri Ekonomi tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 9.30 pagi bagi menyambung proses merekod keterangan untuk kali kedua berhubung siasatan terbabit.
Beliau tiba menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Volvo berwarna gelap dan memakai kemeja putih dan sut hitam.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat mengulas lanjut berhubung proses soal siasat yang sedang dijalankan, namun memaklumkan ia berjalan mengikut prosedur ditetapkan.
Menurut Rafizi, sesi soal siasat tersebut dijalankan secara terperinci dengan meneliti setiap peristiwa mengikut garis masa daripada satu kejadian ke satu kejadian.
“Setakat ini saya tak boleh komen banyak mengenai proses hari ini. Namun, seperti biasa dalam sesi soal siasat, ia akan melalui setiap peristiwa mengikut garis masa.
“Tiada apa-apa yang hendak disembunyikan,” katanya kepada media di perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.
Tambah beliau, layanan yang diterima sepanjang proses berkenaan adalah baik dan tiada sebarang masalah timbul.
“Dari segi layanan, semuanya baik dan tiada sebarang masalah. Ini memang sebahagian daripada proses siasatan.
“Siasatan setakat ini juga tidak melibatkan wang atau rasuah, sebaliknya lebih kepada prosedur,” katanya.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata sesi soal siasat semalam berakhir kira-kira pukul 6.45 petang dan beliau menjangkakan tempoh hari ini juga hampir sama.
Terdahulu, Datuk Seri Rafizi Ramli diminta hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRMSPRMpp) Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan.
Sehingga kini, sebanyak 22 keterangan diambil termasuklah dalam kalangan Menteri dan juga pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Februari 2025.-UTUSAN










