PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menafikan dakwaan kononnya beliau adalah individu yang ‘meluluskan’ pengambilan lepasan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) ke Institut Pendidikan Guru (IPG) ketika menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, tuduhan itu tidak benar dan berniat jahat kerana pengambilan lepasan UEC ke IPG sebenarnya sudah dilaksanakan sejak 2011, jauh lebih awal sebelum beliau memegang portfolio itu.
“Pendekatan pengambilan itu diumumkan sewaktu pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) pada 2010 oleh Perdana Menteri ketika itu bagi menangani kekurangan guru Bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
“Pengambilan itu hanya membabitkan pengkhususan Bahasa Cina dan dibuat berdasarkan keperluan mengisi kekosongan guru Bahasa Cina di SJKC.
“Malah, calon bukan hanya dinilai berdasarkan UEC semata-mata kerana mereka tetap perlu memenuhi kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta tapisan ketat KPM,” katanya.
Katanya, dasar pengambilan calon guru Bahasa Cina yang bermula sejak 2011 itu juga bukanlah pengiktirafan umum terhadap UEC dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak tidak memutar belit fakta atau mencampuradukkan isu berkenaan demi membina persepsi politik.
Dr Radzi berkata, dasar berkaitan pengambilan calon guru Bahasa Cina yang bermula tahun 2011 itu bukanlah pengiktirafan umum UEC dalam sistem pendidikan kebangsaan sebagaimana yang diumumkan oleh Kerajaan UMDAP semalam.
“Jangan campur adukan fakta semata-mata untuk membina persepsi politik,” katanya. – UTUSAN










