KPDN perkukuh penguatkuasaan kad fleet SKDS, SKPS - Utusan Malaysia

KPDN perkukuh penguatkuasaan kad fleet SKDS, SKPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan akan memperkukuh aspek kawalan dan penguatkuasaan penggunaan mekanisme kad felet dalam penyaluran subsidi bahan api menerusi Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah terbabit termasuk memperkukuh aspek kerangka perundangan berkaitan kawal selia barang kawalan bersubsidi di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata pihak kementerian kini sedang merangka cadangan penggubalan peraturan khusus bagi mewujudkan kerangka perundangan yang lebih jelas, menyeluruh dan teratur berkaitan pelaksanaan, pengawalseliaan serta penguatkuasaan penggunaan kad fleet.

“Antara yang akan dimasukkan dalam peraturan itu ialah berkaitan tanggungjawab pemilik dan pemegang kad fleet termasuk syarikat minyak yang mengeluarkannya.

“Kita juga mahu memperuntukkan bentuk kesalahan serta hukuman yang jelas terhadap pihak yang menyalahgunakan kad fleet termasuk digunakan oleh kenderaan lain yang tidak didaftarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena Program Inspirasi KBBM Sabah 2026 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Armizan turut berkata tindakan memperkenalkan peraturan khusus itu dibuat susulan wujudnya modus operandi baharu melibatkan ketirisan dan penyelewengan diesel serta petrol bersubsidi melalui penyalahgunaan kad fleet.

Menururnya, antara modus operandi yang dikesan adalah penggunaannya oleh kenderaan tidak berdaftar selain pembelian bahan api secara sedikit demi sedikit sebelum dikumpulkan di premis tertentu untuk dijual kepada pihak industri atau diseludup ke luar negara.

“Baru-baru ini kita mengesan kes di Johor membabitkan penyimpanan diesel bersubsidi di sebuah premis menggunakan beberapa fleet card.

“Di Sabah pula, terdapat kes di Semporna membabitkan cubaan membawa diesel subsidi ke seberang menggunakan bot sebelum tindakan diambil penguat kuasa,” katanya.

Tambah beliau, sejak tahun 2023 hingga 14 Mei 2026, sebanyak 223 fleet card di bawah SKDS dan SKPS telah disekat penggunaannya susulan pelbagai kesalahan dan penyelewengan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN