KULAI : Kementerian Komunikasi merekodkan kerugian kes penipuan dalam talian pada tahun lalu melonjak kepada RM2.77 bilion.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang membimbangkan berbanding RM1.28 bilion pada 2023, dan RM1.57 bilion pada 2024.
Justeru, katanya, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini mempergiat Kempen Internet Selamat kepada seluruh peringkat komuniti.
“Kes penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan jumlah itu.
“Pada awalnya, mangsa akan lihat pulangan dalam akaun. Contohnya, jika melabur RM1,000 menjadi RM3,000, menyebabkan mereka menambah lebih banyak wang sehingga habis simpanan mereka,” katanya selepas menghadiri Program Santuni Komuniti bersama platform e-dagang, Shopee di Felda Bukit Permai, di sini hari ini.
Nie Ching berkata, Kempen Internet Selamat ini menggunakan pendekatan berbeza mengikut kumpulan sasar bagi memastikan penyampaian mesej kesedaran digital yang berkesan dengan menumpukan buli siber pada peringkat sekolah rendah.
“Bagi peringkat komuniti seperti di Felda, kampung dan taman perumahan, ia menumpukan kepada isu scam manakala bagi penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah menengah pula mereka didedahkan mengenai bahaya penipuan pekerjaan serta risiko akaun keldai,” katanya.
Setakat 30 April lalu, kempen berkenaan telah dilaksanakan di 10,134 sekolah, Institut Pendidikan Guru dan IPT yang melibatkan hampir 900,000 peserta. – UTUSAN









