JOHOR BAHRU: Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil enggan mengambil peduli sidang akhbar yang akan dibuat bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, esok.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menjawab dengan tidak bersahaja apabila diminta memberikan komen berhubung sidang akhbar berkenaan.
“Meh…six seven,” katanya ringkas apabila diajukan soalan berkenaan dalam sidang akhbar selepas melawat persiapan Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.
Rabu lalu, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi itu memberitahu beliau bersama bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad akan mengadakan sidang akhbar berhubung hala tuju politik mereka, esok.
Sementara itu, mengulas berhubung peletakan jawatan Ketua Pemuda PKR (AMK) Wilayah Persekutuan, Asheeq Ali Sethi Alivi, Fahmi memberitahu dia akan menukar peguam baharu.
“Good luck to him, saya akan tukar peguam saya. Sebelum ini dia (Asheeq) bantu saya dalam beberapa kes. Saya doakan yang terbaik untuk dia dan semoga terubat apa yang tersakiti.
“Dia baharu memasuki PKR selepas Langkah Sheraton, dia tidak berada dalam parti waktu saat-saat getir seperti pengkhianat Azmin Ali (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan ketika PKR hanya mempunyai satu kerusi,” katanya.
Beliau turut memberitahu tindakan Asheeq yang juga Ketua PKR Cabang Batu keluar parti tidak akan menyebabkan parti itu goyah.
Terdahulu, Asheeq dilaporkan memberitahu dia bertindak sedemikian selepas melihat banyak keputusan diambil kerajaan hari ini menyimpang daripada asas perjuangan reformasi yang dipercayai.










