Melaka perintis sistem QR Tagging ternakan pertama negara - Utusan Malaysia

Melaka perintis sistem QR Tagging ternakan pertama negara

Ab. Rauf Yusoh dibantu Dr. Muhamad Akmal Saleh memasang tagging pada seekor lembu selepas majlis Pelancaran QR Tagging Haiwan Ternakan Negeri Melaka di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka, Jalan Lembah Kesang, Seri Mendapat, Merlimau hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Melaka melakar sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia memperkenalkan Sistem QR Tagging Haiwan Ternakan bagi menangani isu haiwan berkeliaran yang semakin membimbangkan selain memperkukuh aspek keselamatan awam dan pengurusan ternakan secara digital.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, sejak tahun 2023, lebih 50 aduan berkaitan haiwan ternakan berkeliaran diterima pihak berkuasa, manakala sebanyak 835 kes kemalangan jalan raya melibatkan kes berkaitan itu turut direkodkan di negeri ini.

Menurut beliau, situasi tersebut membuktikan isu pengurusan ternakan bukan lagi perkara terpencil, sebaliknya memerlukan penyelesaian lebih sistematik, tersusun dan berkesan.

“Kita tidak mahu penternak dipersalahkan, namun dalam masa sama kerajaan negeri juga tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan rakyat.

“Sebab itu pelaksanaan QR Tagging Haiwan Ternakan di bawah Undang-Undang Kecil (UKK) Pelesenan Haiwan Ternakan PBT 2026 ini bukan bertujuan menghukum, tetapi mendidik serta meningkatkan kesedaran penternak supaya lebih bertanggungjawab terhadap pengurusan ternakan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran QR Tagging Haiwan Ternakan Negeri Melaka di sini hari ini.

Ab. Rauf berkata, menerusi sistem berkenaan setiap haiwan ternakan akan mempunyai identiti digital tersendiri yang membolehkan maklumat pemilik, lokasi ternakan, rekod kesihatan serta pergerakan haiwan dikenal pasti dengan lebih cepat dan tepat.

Katanya, sistem itu juga bakal membuka ruang kepada pembangunan pangkalan data ternakan negeri secara bersepadu sekali gus menyokong penggunaan analitik data dan teknologi pintar dalam sektor penternakan pada masa depan.

“Kerajaan negeri juga akan mewartakan pelaksanaan sistem tagging ini pada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan datang bagi memastikan pengurusan ternakan dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan berkesan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri telah memulakan fasa pertama pemasangan QR Tagging di kawasan DUN Ayer Molek membabitkan sebanyak 800 ekor lembu.

Sebagai galakan kepada penternak, katanya, kerajaan negeri turut bersetuju menawarkan pemasangan QR Tagging secara percuma sepanjang tahun 2026 sebelum bayaran RM5 seekor dikenakan selepas tempoh tersebut.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan diharap menjadi model rujukan kepada negeri-negeri lain dalam memperkasakan sistem kawalan dan pengurusan haiwan ternakan di peringkat kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN