Radar moden perkukuh kawalan sempadan negara - Utusan Malaysia

Radar moden perkukuh kawalan sempadan negara

SAIFUDDIN Nasution Ismail menyantuni warga polis ketika lawatan kerja ke Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Tapah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kawalan sempadan negara tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada aset rondaan, sebaliknya perlu diperkukuh dengan pendekatan lebih agresif menerusi penggunaan teknologi radar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggunaan radar moden atau Remote Sensor Site (RSS) amat penting bagi membantu pasukan keselamatan memantau perairan negara, khususnya di kawasan pulau yang berhampiran sempadan antarabangsa

“Kita tahu untuk jaga sempadan, kalau pakai aset saja, tidak lengkap. Kita mesti dilengkapkan dengan radar-radar terkini supaya kawalan dan pemantauan dapat dilakukan dengan berkesan,” katanya ketika berucap sempena lawatan kerja ke Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, di sini hari ini.

Menurut beliau, pasukan keselamatan memainkan peranan penting dalam mengekang aktiviti penyeludupan terutama melibatkan laluan di pulau-pulau berhampiran sempadan negara.

Saifuddin berkata, beliau melihat sendiri bagaimana kawalan keselamatan dilaksanakan di kawasan Laut Sulu dan Laut China Selatan khususnya di Pantai Timur dan Pantai Barat Sabah.

Katanya, pemantauan turut melibatkan 14 pulau yang berpenduduk dan lebih 40 pulau tanpa penghuni yang memerlukan pengawasan berterusan bagi memastikan keselamatan sempadan negara kekal terpelihara.

“Kita turut meninjau kemudahan radar di beberapa lokasi strategik termasuk di Pulau Mantanani, Pulau Balambangan dan Pulau Gaya selain cadangan pemasangan radar baharu di Pulau Malawali.

“Begitu juga ketika saya dibawa ke Langkawi, kita mempunyai radar di kawasan itu selain beberapa pulau yang kedudukannya sangat hampir dengan Thailand seperti Pulau Tarutao.

“Jadi, kalau menjaga sempadan ini hanya menggunakan aset sahaja, ia masih tidak lengkap. Kita perlu dilengkapi radar-radar terkini supaya pemantauan dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Saifudin berkata, beliau konsisten membangkitkan permohonan tambahan peruntukan dan kemudahan bagi kuarters dan pos PGA dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beberapa penambahbaikan telah diluluskan hasil lawatan terdahulu termasuk peruntukan RM40 juta pada tahun 2024 bagi menaik taraf pos PGA selain RM18 juta untuk pangkalan PGA Kulim.

“Hari ini terdapat lagi permohonan kira-kira RM4.3 juta untuk kem ini. Saya akan membawa perkara ini sekali lagi kepada perhatian Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN