ALOR SETAR: Keputusan sebuah syarikat membatalkan cadangan pembangunan pusat data di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) membuka ruang kepada industri lain yang mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri berpandangan kawasan industri seperti KHTP perlu dimanfaatkan untuk sektor yang memberi pulangan lebih besar kepada ekonomi negeri dan rakyat.
Katanya, projek pusat data memerlukan penggunaan air yang tinggi selain melibatkan kawasan tanah yang luas, namun peluang pekerjaan yang diwujudkan tidak banyak.
“Kita mahu KHTP menjadi tempat rakyat Kedah mendapat peluang pekerjaan dan pendapatan lebih baik. Tanah seluas itu sepatutnya digunakan untuk industri yang boleh beri manfaat kepada lebih ramai orang.
“Kerajaan negeri juga terpaksa menyediakan lebih banyak infrastruktur bekalan air kerana pusat data memerlukan air yang banyak untuk sistem penyejukan. Penggunaan air sebuah pusat data boleh menyamai empat kilang pembuatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, mengulas keputusan Maxland Bhd. membatalkan dua cadangan pajakan tanah di Kedah bagi projek pusat data dan sistem penyejukan berpusat selepas syarikat itu menyemak semula strategi perniagaannya.
Pada Disember 2024, anak syarikat Maxland memeterai perjanjian pajakan selama 60 tahun dengan Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC) melibatkan tanah seluas 4.57 ekar bernilai RM9.95 juta bagi projek pusat data.
Satu lagi perjanjian dimeterai pada Februari 2025 membabitkan tanah seluas 4.85 ekar bernilai RM10.57 juta untuk projek sistem penyejukan berpusat.
Muhammad Sanusi berkata, terdapat pelabur yang mahu mengambil keseluruhan 400 ekar tanah di Fasa 5 KHTP untuk membina pusat data, namun peluang pekerjaan yang ditawarkan kurang daripada 1,000 jawatan.
Katanya, jika kawasan sama digunakan untuk industri pembuatan lain, ia mampu menjana sehingga 15,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini. – UTUSAN










