PUTRAJAYA: Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya tampil meringankan beban dihadapi Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1) apabila mengagihkan kerusi bagi keperluan sekolah itu.
Bantuan itu diberikan susulan stor dewan sekolah itu yang terjejas akibat kebakaran pada Jumaat lalu.
Ketua Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, bantuan kerusi membabitkan peruntukan sebanyak RM2,500 itu diharap dapat menampung keperluan sekolah itu buat masa ini.
Beliau berkata, bantuan itu disalurkan segera memandangkan murid sekolah itu yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun ini.
“Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di atas bantuan awal sebanyak RM100,000 bagi proses baik pulih stor dewan itu baru-baru ini,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan 100 unit kerusi kepada sekolah itu, hari ini.
Katanya, bantuan berkenaan diharap dapat membantu persiapan pelajar menghadapi peperiksaan kelak.
Sementara itu, Pengetua SMK Putrajaya Presint 14 (1), Hassim Markom berkata, pihaknya berterima kasih kepada Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya di atas sumbangan itu sekali gus dapat mengurangkan kesukaran yang dihadapi pihak sekolah selepas kejadian kebakaran.
Dalam pada itu, Hassim juga berharap dewan yang terjejas dapat digunakan semula dalam tempoh enam bulan ini. – UTUSAN










