KUALA LUMPUR: Kes gangguan seksual di negara ini menunjukkan trend peningkatan membimbangkan apabila jumlah kes direkodkan meningkat kepada 1,038 pada 2025 berbanding 788 kes tahun sebelumnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menunjukkan sebanyak 477 kes direkodkan pada 2022 sebelum meningkat kepada 522 kes pada 2023.
Katanya, kenaikan berterusan itu jelas menggambarkan isu gangguan seksual semakin serius dan memerlukan tindakan tegas serta kesedaran menyeluruh masyarakat bagi membendungnya daripada terus berleluasa.
“Peningkatan laporan ini turut mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang berani tampil ke hadapan melaporkan kes kepada pihak berkuasa dan menuntut hak mereka.
“Perkembangan ini mencerminkan perubahan positif dalam sikap masyarakat yang semakin menolak normalisasi gangguan serta lebih peka terhadap kepentingan melaporkan sebarang bentuk salah laku demi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua,” katanya berucap pada Program Toleransi Sifar Keganasan: Katakan Tidak Kepada Gangguan Seksual di Hotel Premiera, di sini hari ini.
Nancy berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah tegas bagi menangani isu gangguan seksual termasuk menggubal Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840].
Katanya, pelaksanaan akta itu diperkukuh melalui garis panduan komprehensif meliputi aspek pencegahan, tatacara tindakan serta perlindungan menyeluruh kepada mangsa supaya isu berkenaan dapat ditangani secara lebih sistematik, berkesan dan bersepadu.
“Penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) pula berperanan sebagai platform alternatif bagi menyelesaikan aduan kes gangguan seksual dengan lebih cepat, mudah dan kos berpatutan untuk mangsa menuntut hak mereka.
“Berdasarkan laporan TAGS, sehingga 26 April 2026, sebanyak 92 aduan telah difailkan dengan 69 daripadanya berjaya diselesaikan.
“Pencapaian ini membuktikan tribunal ini berkesan dalam mempercepat proses menyampaikan keadilan kepada mangsa,” katanya.
Tambah beliau, usaha advokasi dan pendidikan masyarakat juga amat penting bagi mengubah cara berfikir, memperkukuh kefahaman serta membina budaya yang lebih selamat, inklusif dan berteraskan rasa hormat antara satu sama lain.
“Semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, majikan, rakan sekerja dan pelajar perlu memikul tanggungjawab mewujudkan budaya sifar toleransi terhadap gangguan seksual,” katanya. – UTUSAN










