Pukul isteri, polis siasat penemuan tisu kering disyaki janin

Pukul isteri, polis siasat penemuan tisu kering disyaki janin

ADZLI Abu Shah pada sidang akhbar di IPK Kedah di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis masih menyiasat tisu kering disyaki janin yang ditemukan dalam kes seorang lelaki memukul isterinya hingga keguguran di Sungai Petani, April lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek membawa polis ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ghufran, di sini pada 30 April lalu dan menunjukkan lokasi dia menanam janin itu.

“Siasatan lanjut pihak polis mendapati mangsa pernah mengalami keguguran pada awal April lalu akibat dipukul suspek dan siasatan di tanah perkuburan itu membawa kepada penemuan tisu kering disyaki janin ditanam suspek dan mangsa.

“Spesimen tisu yang dijumpai telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa lanjut dan sekiranya ia sah sebagai janin atau sel manusia, kita akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Adzli berkata, pihaknya menjangkakan suspek akan didakwa di mahkamah pada Khamis ini di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan seperti yang dicadangkan sebelum ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang jururawat sebuah hospital cedera parah dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan mangsa keguguran, patah tulang rusuk serta tulang belakang.

Suspek yang pernah mendirikan rumah tangga sebanyak sembilan kali tidak memiliki pekerjaan tetap dan dipercayai menyasarkan pasangan yang mempunyai pekerjaan stabil terutama penjawat awam bagi menumpang kesenangan.

Semalam, Mahkamah Rayuan di Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara maksimum 14 tahun terhadap lelaki itu yang juga bekas suami Jahidah Nordin selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim, Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas mendapati hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan terhadap Rosmaini Abd Raof sebelum ini tidak memadai.

Lelaki itu turut diperintahkan membayar pampasan sebanyak RM25,000 kepada Jahidah melalui wakil keluarga wanita itu, Fazariah yang merupakan kakak kepada Jahidah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN