Pulau Pinang sasar jadi lokasi lebih 20 acara global

Pulau Pinang sasar jadi lokasi lebih 20 acara global

ASHWIN Gunasekaran (tiga, kiri) bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada majlis menandatangani MoU antara PCEB dan Marriott International Malaysia bagi mempromosikan Penang Golf Challenge di George Town, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang memperoleh ‘kelebihan’ daripada krisis di Asia Barat apabila negeri ini menjadi antara destinasi pilihan bagi penganjuran acara antarabangsa yang dipindahkan dari rantau berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB), Ashwin Gunasekaran berkata, setakat ini, pihaknya telah menyenarai pendek lebih 20 acara antarabangsa untuk dibawa ke negeri ini dan ia dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

“Ini (senarai pendek acara antarabangsa) baru permulaan kerana setiap proses pembidaan (bagi penganjuran) memerlukan prosedur yang tersendiri,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) dan Marriott International Malaysia bagi mempromosikan Penang Golf Challenge, hari ini.

Ashwin berkata, kebanyakan acara yang berpotensi dipindahkan ke Pulau Pinang datang dari rantau Asia Barat susulan konflik dan antara kategori acara yang dikenal pasti termasuk persidangan berkaitan institusi kewangan, pengurusan serta bidang perubatan yang dijangka menarik kehadiran lebih 1,000 peserta.

“Penganjuran acara ini melibatkan jumlah besar dan bukan sahaja memberi manfaat kepada Pulau Pinang, tetapi juga rantau Asia Pasifik secara keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, Ashwin berkata, kalendar acara Pulau Pinang telah dirancang jauh ke masa depan, dengan acara yang telah disahkan setakat ini menjangkau sehingga tahun 2032.

“Perancangan ini adalah hasil usaha berterusan sejak beberapa tahun lalu, dan kita menjangkakan lebih banyak peluang akan muncul bagi tahun 2027 hingga 2029,” katanya.

Tambah beliau, peratusan sebenar potensi peningkatan jumlah acara bagaimanapun hanya dapat ditentukan menjelang suku ketiga tahun ini selepas proses pembidaan dimuktamadkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN