DENGKIL: Penubuhan Anjung Dinamik sebagai hab sosial bersepadu dilihat mampu memperkukuh ekosistem sokongan kebajikan negara, khususnya dalam membantu golongan rentan ke arah kehidupan lebih berdikari.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif itu direka dengan pendekatan baharu yang tidak lagi tertumpu kepada bantuan bersifat sementara semata-mata.
Sebaliknya, katanya, insiatif itu memberi ruang kepada golongan sasar untuk membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran serta menjana pendapatan bagi membina kehidupan yang lebih baik.
“Hab ini menghimpunkan latihan kemahiran, sokongan psikososial serta peluang penjanaan pendapatan dalam satu ekosistem yang holistik dan inklusif,” katanya dalam ucapan sempena pembukaan pengoperasian Anjung Dinamik, di sini, semalam.
Tambah beliau, Anjung Dinamik menyediakan pelbagai kemudahan bagi golongan rentan memulakan kehidupan seperti Kafe Ngopi dan Cerita serta Galeri Mekar Dinamik.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan isu keganasan rumah tangga masih memerlukan perhatian serius kerana memberi kesan besar terhadap kesejahteraan institusi keluarga.
Jelasnya, mangsa bukan sahaja memerlukan perlindungan, malah sokongan emosi dan bimbingan berterusan untuk membina semula kehidupan.
“Peranan KPWKM melalui Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dan Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) amat penting dalam menyediakan ruang perlindungan dan pemulihan kepada mereka yang terkesan,” katanya. – UTUSAN










