Tiada perbincangan calon MB Negeri Sembilan BN

Tiada perbincangan calon MB Negeri Sembilan BN

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perbincangan berlangsung dalam Barisan Nasional (BN) untuk mencalonkan salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada UMNO mempertimbang untuk mengetengahkan calon bagi jawatan tersebut.

“Kami belum membincangkan perkara itu,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Kami Gen Mara Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, krisis yang berlaku di Negeri Sembilan bukan untuk merampas pentadbiran daripada Pakatan Harapan (PH), namun 14 ADUN hanya ingin menukar Menteri Besar yang telah hilang kepercayaan.

Ahmad Zahid enggan mengesahkan mesyuarat Biro Politik PH dan UMNO yang dikatakan berlangsung malam ini.

“Yang akan mengeluarkan kenyataan itu biarlah Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha kepada PH sendiri,” katanya ringkas.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, hanya tinggal seorang sahaja calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang boleh diketengahkan oleh PH, sekiranya mereka ingin menggantikan Datuk Seri Aminuddin Harun.

ADUN Klawang dari Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Ir. Bakri Sawir berkata, setakat ini tiada perbincangan dalam PH untuk menggantikan Aminuddin sebagai Menteri Besar.
Katanya, beliau akan menolak jika jawatan itu diserahkan kepadanya hanya bagi memenuhi syarat BN untuk mengekalkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN