PRU-16: Persediaan Pulau Pinang kini 75 peratus

PRU16: Persediaan PH Pulau Pinang kini 75 peratus

CHOW Kon Yeow menunjukkan papan pemuka MyPenang Manifesto ketika sidang akhbar di pejabatnya di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persediaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) telah mencapai tahap 75 peratus.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kesiapsiagaan itu merangkumi usaha berterusan kerajaan negeri dalam menunaikan manifesto serta mempamerkan prestasi pentadbiran kepada rakyat, sejak hari pertama mentadbir negeri.

Beliau yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, tiada masa yang dianggap benar-benar sesuai atau tidak sesuai untuk menghadapi pilihan raya kerana ia akan berlaku apabila pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat.

“Jadi, apabila dewan (DUN) dibubarkan, itu tanda perlu siap sedia. Kalau tanya saya, saya akan sentiasa beri jawapan 75 peratus. Tidak sepenuhnya bersedia tetapi bersedia secukupnya jika ada kemungkinan pilihan raya diadakan,” katanya ketika sidang akhbar mengenai papan pemuka MyPenang Manifesto di sini, hari ini.

Kon Yeow mengulas kenyataan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kemungkinan pilihan raya umum diadakan lebih awal.

Kon Yeow berkata, fokus utama kerajaan negeri ketika ini memastikan segala manifesto dapat direalisasikan demi manfaat rakyat.

“Walaupun pilihan raya itu penting, kerja untuk merealisasikan manifesto juga penting. Jadi, tidak kisah bila diumumkan pilihan raya negeri atau Persekutuan, kerja-kerja untuk menunaikan janji manifesto itu berterusan,” katanya.

Mengulas kemungkinan PH perlu bertanding solo di beberapa negeri, Kon Yeow berkata, kenyataan tersebut lebih tertumpu kepada situasi di Johor dan Negeri Sembilan, susulan perkembangan kerjasama politik di kedua-dua negeri.

Katanya, bagi negeri lain termasuk Pulau Pinang, kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) masih terbuka dan tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan di peringkat nasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN