Politik dendam, prasangka hanya lemahkan suara Melayu - Ahmad Zahid

Politik dendam, prasangka hanya lemahkan suara Melayu – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi berucap ketika majlis Musyawarah Nasional di hotel Premiera Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Landskap politik orang Melayu ketika ini dilihat semakin melemah berikutan pemimpinnya yang masih dibelenggu dengan sentimen dendam serta perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengasas Musyawarah Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya budaya politik berteraskan emosi ini terus dibiarkan, ia bukan sahaja merugikan bangsa malah akan mengecilkan kedudukan orang Melayu dalam lakaran dunia.

Menurutnya, suara keramat bangsa Melayu kini semakin tidak lagi diendahkan dan dipandang sepi oleh pihak lain kerana perpecahan yang berlaku hanya disebabkan oleh perkara-perkara kecil.

“Politik orang Melayu yang terus dibelenggu dengan dendam, prasangka, dan perebutan yang tidak berkesudahan tentunya hanya akan mengecilkan kedudukan kita dalam lakaran dunia.

“Melayu Islam tidak boleh terus menang sorak tetapi kampung tergadai. Strategi kita sering dikalahkan oleh emosi, padahal suara bangsa akan melemah sehingga kegusaran kita tidak lagi diendahkan,” katanya ketika berucap merasmikan Musyawarah Nasional di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sudah tiba masanya politik orang Melayu kembali kepada landasan akal, adab dan strategi yang matang.

Katanya, politik Melayu bukan sekadar untuk menang pilihan raya tetapi untuk memastikan bangsa itu terus mempunyai kuasa menentukan masa depannya.

“Musyawarah Nasional menyarankan politik Melayu mesti kembali kepada tujuan asalnya iaitu menyatukan kekuatan, melindungi kepentingan bangsa dan memelihara Islam.

“Selain, mempertahankan institusi raja-raja dan negara, serta memastikan Malaysia terus stabil. Politik bukan sekadar soal menang kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN