GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah sintetik termasuk cecair syabu untuk vape yang dikenali ‘piau piau’ menerusi dua serbuan di daerah Seberang Perai Utara, Selasa lalu.
Dalam operasi yang berlangsung selama hampir sembilan jam bermula kira-kira pukul 9 pagi itu, seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 36 hingga 42 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, suspek lelaki tersebut ditahan di kawasan parkir kenderaan manakala suspek wanita pula ditahan di sebuah kediaman tidak jauh dari situ.
“Hasil pemeriksaan lanjut di kediaman itu, polis menjumpai pelbagai jenis dadah termasuk cecair syabu untuk vape, serbuk MDMA, ketamin dan pil Erimin 5 yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM88,725.50,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurut beliau, selain 123 kartrij disyaki mengandungi cecair syabu seberat 1.34 kilogram (kg), turut dirampas dalam serbuan itu ialah 11 paket serbuk MDMA seberat 396 gram, tiga paket ketamin seberat 2.55 gram dan 70 biji pil Erimin 5 serta lima peranti elektronik.
Katanya, dalam serbuan yang sama, polis turut menyita dua buah kenderaan iaitu jenis Toyota Altis dan Toyota Estima serta wang tunai berjumlah RM1,069 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM199,794.50.
“Hasil risikan mendapati, sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Mac lalu dan bekalan yang dirampas dianggarkan boleh digunakan untuk kira-kira 300 kali penggunaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari iaitu hingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, salah seorang daripada suspek juga dikesan positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan lanjut turut mendapati kedua-duanya mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.-UTUSAN










