PETALING JAYA: Pengurusan organisasi dan operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor akan terus diperkasa bagi memastikan aspek penguatkuasaan, pencegahan rasuah dan kebajikan warga kerja dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, setiap siasatan yang dijalankan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan teliti supaya tidak membuka ruang kepada mana-mana pihak mempertikaikan kredibiliti siasatan SPRM.
“Pegawai penyiasat juga diingatkan supaya membuat pemilihan akta yang tepat berdasarkan kesalahan yang diadukan bagi setiap pertuduhan kes ke mahkamah agar pendakwaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Kompleks SPRM Selangor bagi meninjau perkembangan operasi, pengurusan serta usaha pencegahan rasuah yang dilaksanakan di negeri itu, di sini semalam.
Terdahulu, ketibaan beliau disambut Pengarah SPRM Selangor, Mohd. Azwan Ramli bersama barisan pegawai negeri sebelum menghadiri sesi taklimat berkaitan Kompleks SPRM Selangor, sumber manusia, program pendidikan antirasuah serta cabaran yang dihadapi.
Abd Halim berkata, pendidikan antirasuah perlu terus dipergiatkan khususnya dalam kalangan generasi muda melalui pelbagai aktiviti pendidikan dan kesedaran.
“Teruskan usaha menerapkan mesej antirasuah serta tingkatkan lagi aktiviti untuk mendidik kanak-kanak dan pelajar baik di peringkat sekolah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“Pihak pengurusan supaya sentiasa menjaga kebajikan pegawai dan kakitangan selain menerapkan prinsip kepemimpinan yang mesra bagi mewujudkan suasana kerja harmoni.
“Jangan ketepikan kebajikan pegawai dan kakitangan dan perlulah menjaga hubungan yang baik dengan mereka,” katanya.-UTUSAN










