Empat penganggur ditahan dipercayai curi kabel

Empat penganggur ditahan dipercayai curi kabel

NAAZRON ABDUL YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat penganggur termasuk seorang wanita diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian curi kabel  di Jalan Zahra 1, Semenyih, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira 5.45 pagi itu dipercayai berlaku melibatkan empat individu menggunakan dua kereta.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pada 8.29 pagi daripada seorang warga tempatan yang juga penghuni kawasan perumahan berhampiran lokasi kejadian.

“Bertindak atas laporan yang diterima, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah berjaya membuat tangkapan ke atas tiga lelaki dan seorang perempuan lingkungan umur 24 tahun hingga 39 tahun yang merupakan penganggur di sekitar Batu 9 dan Batu 14 Hulu Langat.

“Turut dirampas dua buah kereta yang dipercayai digunakan semasa kejadian selain beberapa bahan bukti lain yang digunakan suspek ketika melakukan perbuatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, semakan mendapati suspek pertama mempunyai 24 rekod jenayah dan 10 rekod narkotik manakala suspek kedua mempunyai 10 rekod jenayah serta empat rekod narkotik.

Menurutnya, suspek ketiga pula mempunyai lima rekod jenayah dan enam rekod narkotik sementara suspek keempat mempunyai tiga rekod narkotik.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN