ALOR SETAR: Anggota polis yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Langkawi, dekat sini sudah diambil tindakan awal dengan dipindahkan ke lokasi lain bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya tidak akan melindungi sama sekali pegawai atau anggota yang terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.
“Kita sudah mengenal pasti anggota polis terlibat dan sedang mengambil tindakan dengan menukarnya serta-merta yang bukan untuk melindunginya tetapi demi kepentingan awam dan siasatan lebih mendalam.
“Tidak dinafikan elemen pengedaran dadah berlaku di Langkawi tetapi seperti dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak sampai seperti tahap kegiatan Pablo Escobar,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah Adzli, statistik sejak 2023 juga menunjukkan seramai 54 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 akibat salah guna dadah.
“Seramai 38 daripadanya sudah dituduh di mahkamah, tiga masih menunggu laporan patologi dan 13 kes tiada tindakan lanjut (NFA). Tangkapan ini membuktikan yang kita tak melindungi sesiapa walaupun pegawai atau anggota polis.
“Malah, pada April tahun lalu, seorang anggota kita dikenakan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 kerana terlibat pengedaran dadah yang mana bukan agensi lain tahan tapi polis sendiri yang menangkapnya,” katanya.
Sementara itu, Adzli berkata, dalam kes pengedaran dadah di Langkawi juga, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah turut menahan seorang suspek dikenali sebagai ‘Bagok’ berumur 47 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
“Suspek ditangkap pada 16 Mei lalu di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. Hasil ujian saringan awal terhadapnya positif Methamphetamine. Dia juga pernah ditahan pada 11 April lalu kerana kesalahan sama dan kita masih menunggu laporan patologi untuk pengesahan kandungan dadah,” katanya.
Katanya, lelaki itu mempunyai 12 rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan; Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971; Seksyen 160 Kanun Keseksaan; lima rekod di bawah Seksyen 12(2) serta tiga rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Tambah beliau, suspek juga pernah ditangkap di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya LPPK 1985 pada 20 November 2020 dan ditahan di Pusat Pemulihan Akhak Batu Gajah, Perak selama dua tahun.
Sabtu lalu, Saifuddin berkata, kegiatan pengedaran dadah di Langkawi tidak berada pada tahap sehingga boleh disamakan dengan operasi kartel antarabangsa seperti dikaitkan dengan figura terkenal dunia jenayah, Pablo Escobar.
Ujar beliau, perbandingan sedemikian disifatkan keterlaluan, meskipun mengakui pihak berkuasa sentiasa menjalankan risikan serta pengintipan terhadap aktiviti pengedaran dadah di pulau itu. – UTUSAN










