Pelaburan asing, AI pacu pertumbuhan ekonomi Malaysia

Pelaburan asing, AI pacu pertumbuhan ekonomi Malaysia

AMIR Hamzah Azizan (kiri) bersama Naib Presiden Intel Foundry Technology and Manufacturing, Lee Wei Chern ketika melawat projek Intel Pelican di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Malaysia dijangka terus mencatat pertumbuhan ekonomi positif tahun ini susulan kemasukan pelaburan asing dan domestik yang kekal kukuh, selain permintaan tinggi terhadap sektor kecerdasan buatan (AI), pusat data dan semikonduktor yang terus memacu ekonomi negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026 yang berkembang 5.4 peratus, berbanding unjuran awal 5.3 peratus juga membuktikan asas ekonomi negara masih berada pada landasan kukuh.

Menurut beliau, pertumbuhan itu didorong peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), pelaburan langsung domestik (DDI) serta perbelanjaan awam yang kekal rancak di bawah kerangka Ekonomi Madani.

“Kita nampak FDI yang masuk mula menyumbang kepada pertumbuhan KDNK, manakala DDI dalam negara juga terus meningkat selain perbelanjaan awam yang masih kukuh.

“Ini menunjukkan enjin pertumbuhan ekonomi negara bergerak seiring dan kerajaan bekerja keras memastikan momentum itu terus dipertahankan,” katanya selepas melawat projek Intel Pelican di Bayan Lepas, hari ini.

Terdahulu, Amir Hamzah turut meninjau jajaran projek LRT Mutiara yang dijangka siap sebelum 2031 selain melawat tapak pembangunan Silicon Island dan projek pengembangan Intel di Pulau Pinang.

Amir Hamzah berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada pengukuhan pelaburan domestik khususnya menerusi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi merebut peluang pertumbuhan baharu.

Katanya, pendekatan Ekonomi Madani yang menumpukan kepada peningkatan pendapatan rakyat termasuk pelaksanaan gaji minimum, kenaikan gaji penjawat awam serta peralihan kepada konsep gaji kehidupan wajar turut membantu merangsang perbelanjaan pengguna.

Mengulas mengenai sektor teknologi, beliau berkata, permintaan terhadap AI, pusat data dan semikonduktor masih berada pada tahap tinggi, terutama di wilayah utara Semenanjung yang mempunyai ekosistem industri lengkap.

Menurutnya, Malaysia terus menjadi pilihan pelabur global kerana memiliki rantaian industri yang matang serta keupayaan menyokong perkembangan sektor digital dan teknologi tinggi.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur seperti pembesaran persimpangan Juru, naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) serta projek LRT Mutiara bakal memperkukuh daya saing ekonomi wilayah utara.

Katanya, kerajaan juga memberi perhatian kepada kestabilan utiliti termasuk bekalan elektrik dan air bagi menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN