KUALA LUMPUR: Mana-mana wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen diingatkan supaya mengambil kira mandat dan kepentingan pengundi sebelum membuat keputusan mengosongkan kerusi yang disandang sebelum tamat penggal perkhidmatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, setiap wakil rakyat yang dipilih sewajarnya menunaikan tanggungjawab kepada rakyat sepanjang tempoh perkhidmatan lima tahun sebelum membuat sebarang keputusan untuk menyertai parti lain atau bertanding semula.
“Saya tidak boleh komen kerana itu hak demokrasi masing-masing, tetapi kasihan kepada rakyat dan pengundi di Pandan sebab pada pandangan saya mereka mengharapkan wakil rakyat itu ada.
“Sekurang-kurangnya rakyat boleh mengetuk pintu rumah wakil rakyat jika ada masalah atau memerlukan bantuan, tetapi mungkin beliau ada sebab-sebab tertentu.
“Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) juga saya harap mengambil kira mandat dan tanggungjawab terhadap pengundi sekiranya mempunyai hasrat untuk mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Khidmat Pro Bono Komersial di Auditorium Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa hari ini.
Mengulas mengenai keperluan melaksanakan Pilihan Raya Kecil (PRK), Azalina berkata, berdasarkan peruntukan sedia ada, kekosongan kerusi Parlimen dalam tempoh kurang dua hingga tiga tahun sebelum tamat penggal tidak memerlukan pilihan raya diadakan.
“Ahli Parlimen boleh buat bicara atau tindakan sendiri tetapi yang penting rakyat yang mengundi. Seperti saya (Ahli Parlimen) di Pengerang, rakyat pun dia mahukan wakil rakyat itu habiskan tempoh.
“Itu pandangan saya dari aspek rakyat tetapi mungkin sebagai pemimpin, mereka ada pandangan sendiri,” katanya.
Hari ini, Rafizi dan Nik Nazmi mengesahkan telah menghantar surat pemakluman kekosongan kerusi Parlimen masing-masing kepada Yang Di-pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Kedua-dua bekas menteri tersebut melalui kenyataan bersama memaklumkan, keputusan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa itu dibuat bagi memberi tumpuan kepada agenda politik baharu.
Susulan itu, Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat juga turut mengesahkan telah menerima surat perletakan jawatan daripada kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan. – UTUSAN










