SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 mensasarkan nilai jualan langsung RM55 juta dan potensi pelaburan bernilai RM8 bilion melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai sepanjang 10 hari pelaksanaannya mulai 28 Ogos hingga 6 September ini dengan menyasarkan kehadiran empat juta pengunjung.
Beliau berharap acara yang dianjurkan dua tahun sekali itu menjadi tarikan ramai walaupun ketika dunia berdepan dengan krisis tenaga global.
“MAHA 2026 akan melibatkan penyertaan 2,000 pempamer dari dalam dan luar negara. Program ini juga dijangka melibatkan seramai 800,000 golongan belia. Kita juga menumpukan ke arah aspek pemodenan dalam pertanian, contohnya seperti penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan menyemai benih padi supaya dapat menarik minat generasi muda.
“MAHA 2026 yang membawa tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’ memberi penekanan kepada usaha meningkatkan nilai dalam keseluruhan rantaian agromakanan negara.
“Tema tersebut juga selaras dengan aspirasi negara untuk membangunkan ekosistem agromakanan yang berdaya tahan, berasaskan teknologi,” katanya ketika sesi minum petang Pitch & Connect @ MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.
Mohamad berkata, penganjuran minum petang itu menjadi platform penting untuk menarik lebih ramai penaja bersama-sama memberikan sokongan dan keterlibatan strategik bagi menjayakan MAHA 2026 yang merupakan antara pameran pertanian terbesar dan paling berprestij di rantau ini.
Sepanjang MAHA 2026 nanti, pelbagai aktiviti dan tarikan istimewa dirancang antaranya pameran agrotek, pertunjukan laser, cahaya dan dron, agro safari, kingdom of agrofood dan Pavilion Negeri. – UTUSAN










