PH, BN boleh rujuk klausa perantaraan dalam perjanjian kerjasama selesai pertikaian konflik

PH, BN boleh rujuk klausa perantaraan dalam perjanjian kerjasama selesai pertikaian konflik

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Klausa perantaraan yang termaktub dalam perjanjian kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai antara mekanisme yang boleh digunakan bagi menyelesaikan sebarang pertikaian dalam kerjasama politik.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perantaraan tersebut dilihat lebih sesuai bagi mengelakkan sebarang pertikaian berlarutan yang boleh mengganggu fokus serta tanggungjawab dalam membantu rakyat dan mentadbir negara.

“Kita ada klausa mediasi dalam perjanjian antara PH dan BN. Saya rasa Datuk Fahmi Fadzil ada sebut semalam mengenai klausa itu.

“Pada saya, mana-mana pihak jika tidak berpuas hati perlu gunakan klausa itu kerana itu perjanjian gabungan PH dan BN. Saya rasa perenggan lima tapi tidak pasti tapi ada perantaraan (jika ada pihak tidak puas hati),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Khidmat Pro Bono Komersial di Auditorium Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.

Beliau merujuk perjanjian kerjasama yang dimeterai antara BN dan PH selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu iaitu perjanjian 18 perkara yang bertujuan menyelesaikan sebarang masalah berbangkit antara kedua-dua gabungan itu.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, penggunaan klausa mediasi tersebut bukan perkara baharu kerana ia juga pernah digunakan dalam menyelesaikan isu politik di peringkat negeri.

“Bagi krisis di Negeri Sembilan juga kita menggunakan klausa itu menyelesaikan kemelut yang berlaku agar ia tidak terus berlarutan.

“Kewujudan klausa seperti itu penting dalam memastikan sebarang pertikaian dapat diselesaikan secara teratur tanpa menjejaskan hubungan dalam gabungan kerajaan,” katanya.

Media semalam melaporkan, beberapa pemimpin PH ketika Konvensyen PH di Johor semalam dilihat mengecam serta mengkritik pendirian BN yang mengumumkan bertanding solo bagi semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN