Jualan jam tangan Swatch baharu cetus kekecohan di Eropah, New York

Jualan jam tangan Swatch baharu cetus kekecohan di Eropah, New York

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Pelancaran jam tangan edisi terhad Swatch bertukar kecoh sejak Sabtu di beberapa bandar Eropah dan New York, dengan polis Perancis terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi mengawal keadaan di sebuah cawangan berhampiran Paris.

Ratusan orang sanggup beratur sepanjang malam malah ada yang menunggu selama beberapa hari demi mendapatkan jam tangan ‘Royal Pop’ yang dihasilkan menerusi kerjasama dengan pembuat jam mewah terkenal, Audemars Piguet.

Di Perancis, barisan panjang membabitkan ratusan pelanggan dilaporkan terbentuk sepanjang malam di beberapa bandar, manakala sumber polis berkata, anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata untuk mengawal kira-kira 300 orang yang berkumpul di luar sebuah kedai Swatch di kawasan Paris.

Sebuah bidai besi dan dua pintu pagar keselamatan dilaporkan rosak dalam kejadian itu, sementara polis menyatakan pihak kedai memandang rendah keperluan kawalan keselamatan.

Situasi turut menjadi tegang di Milan, Itali apabila pergaduhan tercetus di hadapan sebuah kedai Swatch ketika premis itu dibuka pada Sabtu, menurut rakaman yang disiarkan media tempatan.

Di Belanda pula, polis terpaksa campur tangan di sebuah pusat beli-belah berhampiran The Hague selepas ratusan orang membanjiri kedai berkenaan.

Menurut polis, suasana tegang dan berlaku pertelingkahan kecil dalam kalangan orang ramai. Apabila pihak kedai akhirnya memutuskan untuk tidak membuka premis itu, pengunjung diminta bersurai.

Kedai Swatch di Amsterdam dan Utrecht turut tidak dibuka.

Masih belum jelas bila kedai-kedai itu akan beroperasi semula. Di laman webnya, Westfield Mall of the Netherlands memaklumkan pelancaran Swatch dengan kerjasama Audemars Piguet tidak akan diteruskan.

Swatch turut terpaksa menutup kedainya di London serta enam bandar lain di United Kingdom (UK) atas faktor keselamatan selepas orang ramai membanjiri kawasan luar premis.

Di New York pula, pembukaan kedai Swatch di Times Square turut dicemari insiden tolak-menolak dalam kalangan orang ramai yang beratur.

“Ia macam suasana di hadapan pentas konsert. Orang yang baru datang malam tadi sudah berada di depan, ada juga yang memotong barisan pagi ini. Siapa yang paling kuat menipu dan menolak akan berada di hadapan,” kata John McIntosh, 44, yang sudah menunggu sejak Rabu kepada AFP.

Seperti ramai pembeli lain, McIntosh berharap dapat membeli jam tangan berwarna terang itu yang dijual pada harga AS$400 hingga AS$420 (RM1,589 hingga RM1,668) di kedai untuk dijual semula dengan keuntungan besar.

Seorang lagi pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Mac berkata, dia berjaya mendapatkan jam tangan itu selepas beratur selama lima hari.

“Keadaan memang agak huru-hara dan teruk juga, tetapi saya berjaya masuk. Harga asal sekitar AS$400 (RM1,589), dan saya baru sahaja jual satu pada harga AS$4,000 (RM15,892),” katanya.

Seorang lelaki dikenali sebagai Benny, 30, pula memilih untuk terus membeli daripada menunggu lama, dengan membayar AS$2,400 (RM9,536) bagi mendapatkan jam tangan berkenaan.

“Ia kira-kira AS$2,000 (RM7,946) lebih mahal daripada harga asal, tetapi memang sukar mendapatkan jam Audemars Piguet dengan harga kurang daripada jumlah itu, jadi saya rasa ini masih berbaloi. Saya lebih rela bayar mahal dan terus mendapatkannya,” katanya.

Dalam satu hantaran di media sosial selepas orang ramai membanjiri cawangan-cawangannya di seluruh dunia, Swatch meminta orang ramai supaya tidak menyerbu premisnya dalam jumlah yang besar dan memaklumkan koleksi itu akan terus tersedia dalam beberapa bulan akan datang.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN