Pendakwaan serah 45 dokumen kes bekas Panglima Tentera Darat

Pendakwaan serah 45 dokumen kes bekas Panglima Tentera Darat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan kes bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya telah menyerahkan 45 dokumen termasuk rakaman percakapan kepada pembelaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan kepada Hakim Azura Alwi, antara dokumen diserahkan adalah rakaman percakapan dan penyata akaun bank.

“Hari ini ditetapkan untuk sebutan serahan dokumen kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

“Untuk makluman mahkamah, satu set dokumen yang mengandungi kira-kira 45 dokumen, termasuk rakaman percakapan dan penyata akaun bank telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

“Dianggarkan tiga set dokumen akan diserahkan kepada pembelaan secara berperingkat dan pihak kami mohon tempoh masa sebulan hingga ke dua bulan untuk serahan seterusnya,” kata Mahadi.

Sementara itu, peguam Aizul Rohan Anuar dan Fahmi Abd. Moin yang mewakili Muhammad Hafizuddeain dan isterinya, Salwani Anuar@Kamaruddin mengesahkan menerima dokumen tersebut.

Mahkamah menetapkan 25 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pada 22 Januari lalu, Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2,122,400 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

Pada tarikh sama, Salwani, 27, didakwa atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM77,000 yang dimasukkan ke akaun bank syarikatnya antara 24 November 2024 hingga 25 November 2025.

Pada 23 Januari pula, Muhammad Hafizuddeain didakwa di Mahkamah Sesyen, Shah Alam atas dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM145,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya antara 2 Februari 2024 hingga 19 Mei 2025.

Salwani turut dituduh di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu pada 26 Januari lalu atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM5,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya pada 16 Januari 2025.

Kesemua kes dibenarkan untuk dibicarakan bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN